Berita Utama

73 warga China ditahan urus, promosi aktiviti judi

Jalan aktiviti di pusat peranginan lama jauh dari masyarakat

BANGI, 9 Rabiualkhir 1442H, Rabu – Sebuah pusat peranginan lama di Banting dipercayai dijadikan lokasi kegiatan penganjuran judi dalam talian yang menyasarkan pelanggan dari China.

Malah, kedudukannya jauh dari kawasan bandar itu turut menjadikannya sebagai lokasi aktiviti pertaruhan pelaburan saham disyaki tanpa lesen.

Bagaimanapun, kegiatan dipercayai beroperasi kira-kira dua bulan lalu itu dihidu polis yang menahan 88 individu dalam Op Dadu, petang semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota D7 Bukit Aman serta dibantu D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

“Dalam operasi terbabit, seramai 61 lelaki warga China, 12 perempuan warga China, 12 lelaki tempatan dan tiga wanita tempatan berumur antara 23 hingga 46 tahun ditahan di lokasi serbuan.

“Polis turut merampas 112 set komputer, 29 unit komputer riba, 1207 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 15 unit router, lima unit modem serta wang tunai berjumlah RM2,200.

“Siasatan mendapati beberapa blok di pusat peranginan terbabit dijadikan sebagai tempat kegiatan JOL-Calling Centre itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Azmi berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati, semua tangkapan disyaki mengurus pusat aktiviti pertaruhan dan promosi judi dalam talian yang berpusat di negara ini, tetapi menyasarkan pelanggan atau mangsa dari China.

Beliau berkata, pusat panggilan itu turut menjalankan aktiviti pertaruhan pelaburan saham dan kegiatan jual beli secara dalam talian disyaki scammer.

“Suspek menggunakan laman sesawang https://cp.360.cn untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian menggunakan suatu pertaruhan dikenali sebagai Loteri 360.

“Sindiket ini menggunakan transaksi kewangan melalui perbankan dalam talian bank di China untuk proses menerima dan membayar hasil perjudian dalam talian dengan menggunakan mata wang China,” katanya.

Beliau berkata, lokasi itu mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti pengawal keselamatan, pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) untuk keluar, masuk, naik, turun dari blok penginapan mereka.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button