Berita UtamaIstimewa

90 peratus peruntukan SBP dipotong cetus kebimbangan

SBP wajar dapat peruntukan lebih, matlamat utama beri pendidikan terbaik kepada murid kalangan B40

BANGI, 9 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) mengesyorkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meningkatkan peruntukan penyelenggaraan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dalam Belanjawan 2021.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, pihak KPM sewajarnya melihat pengagihan peruntukan berdasarkan saiz keperluan yang berbeza-beza mengikut lokaliti, fasiliti, utiliti dan nisbah bilangan murid khususnya di SBP.

Katanya, agak membimbangkan apabila SBP dan sekolah-sekolah agama swasta yang mengguna pakai kurikulum kebangsaan dipotong lebih 90 peratus peruntukannya kali ini.

“Pengurangan ini dibimbangi merencatkan usaha menambahkan bilangan murid dalam jurusan sains yang sememangnya semakin sedikit terutama daripada kalangan Bumiputera.

“SBP sewajarnya mendapat peruntukan lebih kerana matlamat kewujudan SBP adalah untuk memberikan pendidikan terbaik kepada murid-murid di situ daripada kalangan keluarga B40,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelaskan syor itu, beliau berkata, ia mengambil kira kos penyelenggaran sekolah yang tinggi khususnya keadaan di mana SBP sudah uzur, penggunaan 24 jam sehari kerana pelajar berada di asrama dan fungsi SBP yang terlibat dengan penganjuran aktiviti di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan malahan antarabangsa. 

“Sekolah SBP wajar diperkasa dengan peruntukan yang secukupnya sebagai menarik minat anak-anak Melayu luar bandar selesa berada di SBP.

“… khususnya menambahkan lagi bilangan pelajar di bidang sains dan teknologi yang menjadi keperluan guna tenaga negara pada masa akan datang khususnya mendepani Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Selain itu, Ustaz Mohd Azizee berkata, pihak iGuru juga berharap peruntukan lebih dapat diberikan kepada sekolah kebangsaan.

Katanya, ia supaya sekolah kebangsaan dapat diperkasa daripada sudut fasiliti dan menarik minat murid-murid bukan Melayu ke sekolah kebangsaan. 

“Langkah ini diharap dapat menyesaikan isu kemudahan SK terutama yang berada di luar bandar dan pendalaman,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, peruntukan penyelenggaraan sekolah dalam Belanjawan 2021 akan diagih mengikut formula yang mengambil kira bilangan serta kategori sekolah sama ada sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan.

Katanya, formula itu adalah bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan peruntukan sebanyak RM620 juta khusus untuk menyelenggara sekolah di bawah pengendalian KPM di seluruh negara.

Radzi berkata, dalam menggunakan formula tersebut, siling peruntukan bagi jenis sekolah adalah RM477.48 juta untuk SK dan SMK berstatus sekolah kerajaan termasuk Sekolah Berasrama Penuh dan Kolej Vokasional manakala RM1.2 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah bantuan kerajaan.

56 buah SBP seluruh negara bakal menerima peruntukan keseluruhan hanya sebanyak RM4.28 juta untuk tahun depan, berbanding RM50 juta diterima pada 2020.

Begitu juga dengan 224 buah sekolah agama bantuan kerajaan yang diperuntukkan hanya RM12.23 juta untuk tahun depan, berbanding RM50 juta tahun ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button