Berita Utama

Bebaskan manusia daripada arak

Arak diharamkan pada zaman Rasulullah ﷺ secara berperingkat

SAYA gunakan ungkapan ‘membebaskan manusia daripada arak’ bukan ‘mengharamkan arak’.

Walaupun kita mungkin melihatnya sama, hakikat sebenarnya tidak.

Walaupun mungkin ada yang menganggapnya sebagai ungkapan helah politik, hakikat sebenarnya tidak.

Perkara ini perlu kepada sedikit usaha menekuni sifat dan tabiat agama Islam.

Musuh Islam akan sentiasa menyerlahkan sisi negatif kalimat ‘pengharaman’ yang sinonim dengan Islamis dalam konteks arak, judi dan sebagainya.

Kalimat pengharaman sering dikonotasikan dengan pemaksaan, penindasaan, autoritarian, drakonian dan sebagainya.

Justeru, Islamis adalah drakonian.

Bagaimanapun, kita pula enggan menggunakan istilah pengharaman bukan kerana bersikap apologetik, takut dipandang ganas dan sebagainya.

Kita hanya bercakap menurut kerangka Islam, dalam soal kuasa politik, bukan menurut kerangka yang didoktrinkan oleh media musuh Islam.

Kanta kunci bagi kerangka Islam dalam isu pengharaman arak ialah status keakuran di sisi individu dan masyarakat.

[Pengharaman arak di sini ialah dalam konteks politik pemerintahan (penguatkuasaan undang-undang ke atas orang awam), bukan dalam konteks hukum syarak (halal, haram, makruh dan sebagainya).]

Keakuran diperoleh melalui dua kaedah; sukarela dan paksaan, menggunakan dua jenis kuasa; kuasa lunak dan kuasa keras.

Kaedah sukarela dan kuasa lunak adalah asas, manakala kaedah paksaan dan kuasa keras adalah pelengkap. Kedua-dua perlu dan penting.

Namun, kita sering terperangkap dalam kerangka musuh Islam bahawa Islamis itu sinonim dengan kaedah paksaan dan kuasa keras.

Perkara ini sampai tahap mentaliti apabila berkuasa (memerintah) maka kita perlu mengharamkan itu dan mengharamkan ini.

Sepatutnya, kuasa digunakan untuk membebaskan manusia daripada cara hidup yang membelenggu mereka.

Inisiatif pemerintah yang selari dengan ungkapan pembebasan ialah pendidikan, wacana ilmiah, kempen gaya hidup positif dan sebagainya.

Kita gunakan posisi berkuasa untuk menggencarkan sungguh-sungguh pelbagai inisiatif yang mendidik itu, sehingga Islamis yang berkuasa dilihat sinonim dengan pejuang pembebasan, pendidik yang memandaikan bangsa.

Kita jangan apologetik dan jangan juga bersikap seolah-olah masyarakat hanya perlu menurut dan tak boleh berfikir.

Pengharaman arak di zaman Rasulullah ﷺ yang berlaku secara berperingkat-peringkat itu, termasuk ijtihad sahabat menghukum peminum arak, tidak mengandungi pelajaran bahawa arak kini hukumnya tidak haram atau tidak boleh diharamkan.

Tetapi peristiwa itu mengandungi pelajaran mengenai keakuran individu dan masyarakat dalam konteks pemerintahan, serta kaitannya dengan konsep kuasa.

Wallahu a’lam.

Naib Presiden BERJASA
Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button