Berita UtamaDunia

Bekas PM Israel menyamar jadi wanita bertemu pemimpin Arab?

Pertemuan rahsia dilakukan waktu malam, tak diketahui umum

TEL AVIV, 9 Rabiulawal 1442H, Rabu – Bekas Perdana Menteri Israel kerap bertemu pemimpin negara Arab secara rahsia dan adakalanya menyamar seperti wanita.

Perkara itu didedahkan bekas ketua agensi perisikan luar Israel Mossad, Danny Yatom, lapor Arabi21.

Bercakap bersama sebuah stesen radio Israel, Yatom mendakwa, pertemuan pemimpin Yahudi dengan pemimpin Arab pernah terjadi sebelum ini termasuk bekas Menteri Luar Syria, Allahyarham Walid Muallem, Allahyarham Raja Hussien dan adiknya, Putera Hassan.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dipercayai mengadakan pertemuan secara rahsia bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo.

Sebuah laman web pengesanan penerbangan menunjukkan bahawa pesawat dinaiki pemimpin Yahudi itu mendarat di Arab Saudi selama kira-kira dua jam, sebelum kembali ke Israel kira-kira setengah jam lewat tengah malam kemudian.

Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faizal Farhan Al Saud menafikan bahawa Netanyahu melakukan lawatan ke negara itu secara rahsia untuk bertemu Putera Mohammed.

“Tidak ada pertemuan seperti itu,” ciapnya dalam laman Twitter.

Mengulas mengenai perkara itu, Yatom mendakwa, pertemuan seperti itu sering dilakukan pada waktu malam dan tidak diketahui umum.

Sebelum ini, dakwanya, mendiang Perdana Menteri Israel, Ishak Rabin telah menghantar beliau dan Ketua Staf, Ehud Barak ke Washington, AS untuk bertemu Walid dan bekas Ketua Staf tentera Syria, Hikmat Shehabi.

Pertemuan itu bagi membincangkan rundingan damai antara Israel dan Syria.

Yatom mendakwa, beliau dan Barak telah menyamar sebagai wanita dengan memakai rambut palsu dan berpakaian wanita sebelum melakukan penerbangan ke Washington.

Dalam pertemuan itu, Walid yang juga Duta Besar Syria ke Washington berjanji untuk tidak melancarkan serangan dari Syria setelah menandatangani perjanjian damai.

Yatom mendakwa, meskipun Arab Saudi tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel namun negara itu adalah pemimpin Islam mazhab Sunni serta merupakan negara terbesar di Semenanjung yang menjadi kepentingan bagi Israel. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button