Berita Utama

COVID-19: Kerajaan timbang saring pekerja asing setiap 2 minggu

Untuk pusingan pertama 1.7 juta pekerja asing selesai disaring

KUALA LUMPUR, 9 Rabiualkhir 1442H, Rabu – Kerajaan akan mempertimbangkan keperluan untuk mewajibkan semua pekerja asing menjalani saringan COVID-19 setiap dua minggu, kata kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keutamaan kerajaan pada masa ini adalah kepada saringan kesihatan yang diwajibkan bagi pekerja asing di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setakat ini, kita akan mulakan ujian calitan kepada semua pekerja asing (di negeri dikenakan PKPB), kalau mereka negatif kita akan kuarantin dan jika positif kita hantar ke hospital.

“Kalau ada keperluan untuk ujian calitan setiap dua minggu kita akan bincangkan, untuk pusingan pertama ini (melibatkan) 1.7 juta (pekerja asing) kita selesai saring mereka ini dulu,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan supaya saringan kesihatan diwajibkan bagi semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan, melalui kaedah RTK Antigen.

Jelasnya, ia penting bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berakhir 6 Disember ini, mungkin dilanjutkan sekiranya terdapat pertambahan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Beliau, bagaimanapun, berkata perkara itu akan ditentukan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat membuat penilaian risiko di lokasi PKPB berkenaan.

“Kita akan umumkan perkara ini (sama ada dilanjutkan PKPB atau tidak) berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan KKM dalam minggu terakhir sebelum 6 Dis ini.

“Sekiranya terdapat pertambahan kes positif baharu di kawasan-kawasan ini, mungkin PKPB dilanjutkan tetapi sekiranya tiada jangkitan baharu ia akan ditamatkan,” katanya.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sepatutnya tamat pada 9 November lalu disambung sehingga 6 Disember ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button