Berita Utama

Kes rasuah berleluasa, di mana silapnya?

SPRM perlu diberi mandat lebih siasat dalang tertinggi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Rabiualkhir 1442H, Rabu – Beberapa episod pendedahan bahawa sebilangan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didakwa terbabit dalam kes salah laku rasuah sejak kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan orang awam terhadap institusi penting negara.

Ini kerana, kata Pemangku Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sepang, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan, Jabatan Imigresen adalah pihak yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan pintu masuk negara, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menjaga keselamatan awam di dalam negara.

Dengan berlakunya isu sebegini, ia semakin menimbulkan krisis kepercayaan dalam rakyat terhadap pegawai penguatkuasa yang sepatutnya menjaga keselamatan dan kepentingan awam kerana mereka bertindak sebaliknya dengan menjadi dalang memperjudikan keselamatan rakyat dan negara, kata Ustaz Ibrahim.

“Bukan hanya krisis kepercayaan, mereka ini juga telah mengkhianati amanah rakyat di mana gaji mereka dibayar oleh hasil cukai untuk menjaga keselamatan rakyat.

“Sebaliknya amanah tersebut disalah guna untuk mengaut kekayaan dan memuaskan nafsu sendiri tanpa memikirkan kesan kepada rakyat dan negara,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Lebih menyedihkan lagi, katanya, apabila pegawai penguatkuasa yang mengkhianat dan didakwa terbabit rasuah ini adalah daripada kalangan orang Melayu sendiri.

Pada masa sama, beliau berkata, perlu diselidiki dan dibawa ke muka pengadilan juga dalang utama yang ‘membenarkan’ perkara ini berlaku.

“Kes yang kita lihat pada hari ini hanya melibatkan pegawai biasa dan budaya ini tidak akan berleluasa jika pihak atasan yang lebih tinggi mengambil inisiatif untuk menghalang budaya ini daripada terus merebak. 

“Yang menjadi kerisauan kita ialah kes rasuah berakar umbi kerana melibatkan peringkat yang tertinggi cuma yang tertangkap hanya sebahagian pegawai bawahan yang menjadi kambing hitam dan pencatur utama terselamat,” katanya.

Sehubungan itu, Ustaz Ibrahim menggesa pihak tertinggi penguatkuasa terutamanya JIM dan PDRM untuk membuat audit dan pembersihan menyeluruh terhadap semua peringkat dan unit bagi membasmi gejala rasuah secara besar-besaran. 

“Pihak SPRM juga perlu diberikan mandat lebih besar supaya boleh menyiasat dalang tertinggi supaya punca kepada budaya rasuah dapat dihapuskan,” katanya lagi.

Terdahulu, dilaporkan bahawa seramai 50 individu sudah ditahan dalam Ops Selat membabitkan 28 pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan 5 orang awam bagi membantu siasatan berhubung kes sindiket rasuah dalam urusan cap palsu di pintu masuk antarabangsa negara.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali tidak menolak jika lebih ramai lagi akan ditangkap dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button