
BANGI, 9 Rabiualkhir 1442H, Rabu – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menolak Belanjawan 2021, selain mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.
Pengasas PEJUANG, Tun Dr Mahathir Moahamad mahu Perdana Menteri baharu di pilih Dewan Rakyat sekiranya belanjawan itu tidak memperolehi sokongan majoriti.
Katanya, jika belanjawan tidak diluluskan, ia bermakna pimpinan Muhyiddin sudah hilang kesahihan kerana ia tidak mempunyai majoriti cukup.
“Apabila ini berlaku, jika Perdana Menteri seorang yang bermaruah ia akan meletak jawatan. Seterusnya, jika di dalam suasana biasa, ia boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Palimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Mahathir berkata, meskipun pilihan raya umum sukar untuk dilaksanakan namun proses yang boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen menentukan siapakah Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.
“Jika Agong berpuas hati bahawa Ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih menjadi Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan baharu dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan,” katanya.
Beliau menjelaskan, PEJUANG menolak Belanjawan 2021 kerana ada cubaan mengenakan kekangan terhadap Ahli-Ahli Parlimen semasa perbahasan.
Katanya, PEJUANG menolak belanjawan setelah mendapati tidak ada sebarang usaha oleh pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang diajukan Ahli Parlimen, mahupun kritikan rakyat.
“Kerajaan bertindak mengugut Ahli Parlimen dengan naratif bahawa jika Belanjawan 2021 ditolak maka gaji, elaun dan pencen penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak dapat dibayar.
“Selain itu, ugutan juga menjurus kepada cubaan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat bahawa jika belanjawan tidak lulus maka bantuan kewangan tidak akan sampai kepada rakyat yang memerlukannya,” katanya.