Berita Utama

PEMBELA serah memorandum desak Belanjawan 2021 diluluskan

Memorandum diterima kedua-dua wakil kerajaan, pembangkang

KUALA LUMPUR, 9 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) bersama-sama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam telah menyerahkan memorandum bagi mendesak supaya Belanjawan 2021 diluluskan kepada ketua whip kerajaan serta ketua whip pembangkang di bangunan Parlimen, hari ini.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, memorandum berkenaan telah diterima oleh pihak kerajaan yang diwakili Datuk Mohd Fasiah , manakala pihak pembangkang Datuk Johari Abdul.

“Alhamdulillah, respon kedua-dua pihak adalah baik dan kita berharap agar kedua-dua pihak dapat bersepakat tidak menggagalkan belanjawan kali ini untuk kelansungan dan kebajikan rakyat.

“Sesi penyerahan ini diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Masridzi Sat (Naib Pengerusi PEMBELA) bersama-sama wakil kerajaan dan pembangkang yang hadir itu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum ini, Aminuddin menuntut Ahli Parlimen untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Perbalahan antara pemimpin dan parti politik yang dikhabarkan dalam usaha menggagalkan Belanjawan 2021, adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta berlawanan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen akan keadaan rakyat marhaen yang sedang dalam kesusahan, khususnya ketika mengharungi tempoh-tempoh getir sepanjang krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang semakin kritikal.

Katanya, rakyat sudah muak dengan perbalahan politik yang hanya menguntungkan pihak dan individu tertentu.

Beliau yakin apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan negara ketika memerangi wabak COVID-19 dan berusaha untuk menangani krisis ekonomi yang melanda negara kini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button