Berita Utama

Pengusaha ikan atas tanah kerajaan perlu dapatkan lesen

Dapatkan segera sebelum tindakan penguatkuasaan diambil

KUALA TERENGGANU, 9 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Pengusaha ikan dalam sangkar dan kolam yang dibina secara haram di atas tanah milik kerajaan negeri dinasihatkan supaya segera mendapatkan Lesen Menduduki Sementara (LMS) sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata pembinaan kolam dan sangkar ikan secara haram di sungai, tasik dan tanah milik kerajaan negeri adalah satu kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

“Hasrat kerajaan adalah untuk selesaikan isu ini secara harmoni, bukan untuk menghukum rakyat. Sebab itu kerajaan berusaha beri LMS kepada pengusaha ikan sangkar di Besut, Setiu dan beberapa lokasi lain,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS-Batu Buruk) mengenai kaedah kerajaan negeri dalam menangani isu pembinaan kolam dan sangkar ternakan ikan secara haram di sungai, tasik dan tanah-tanah milik kerajaan negeri.

Dr Azman berkata kerajaan negeri hanya akan memfokuskan untuk memberi LMS kepada pengusaha sangkar dan kolam ikan yang sedia ada, dan tidak lagi membenarkan pencerobohan baharu kawasan sungai, tasik dan tanah milik kerajaan bagi tujuan tersebut.

Katanya setakat ini Terengganu merekodkan sebanyak 1,036 sangkar ternakan ikan haram di seluruh negeri dan dari jumlah itu 180 sangkar mempunyai LMS; 48 sangkar sudah tamat tempoh sah LMS; 134 sangkar tidak mempunyai LMS manakala 674 sangkar lagi dalam proses mendapatkan LMS. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button