Berita Utama

Sindiket JIM: Sempadan negara rapuh? Rakyat terdedah ancaman?

'Kita berharap tangkapan ini tidak akan berakhir begitu sahaja'

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 9 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Penahanan beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah satu perkembangan yang mengejutkan.

Timbalan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, perkara tersebut menjawab persoalan masyarakat sebelum ini sama ada pegawai JIM terbabit dalam sindiket jenayah atau pun tidak.

“Di satu sudut kita mengucapkan syabas atas tindakan SPRM tersebut, tetapi di satu sudut yang lain kita tertanya-tanya sudah berapa lamakah sindiket melibatkan pegawai-pegawai imigresen itu berlaku.

“Banyak lagi persoalan lain yang akan timbul hasil dari tangkapan ini seperti berapa ramai lagi sebenarnya pegawai imigresen yang terlibat dan adakah sempadan negara kita sekarang ini sudah rapuh dan terdedah kepada ancaman luar,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan sekiranya motif pembabitan pegawai JIM hanya disebabkan dorongan wang atau lebih teruk lagi menjadi ejen bagi pihak asing.

“Tangkapan ini adakah akan menyelesaikan akar umbi masalah atau kepala-kepala dan dalang-dalang sebenarnya masih lagi bebas?

“Kita berharap semoga tangkapan ini tidak akan berakhir begitu sahaja.

“Apa yang penting dan ingin dilihat oleh rakyat adalah sejauh mana kerajaan berjaya mematikan kumpulan-kumpulan sindiket yang mengancam keselamatan negara,” tegasnya.

Terdahulu, tiga lagi pegawai JIM termasuk Timbalan Pengarahnya yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan cap keluar masuk warga asing di pintu masuk utama dan sempadan negara.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek berusia antara 38 hingga 54 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM.

“Ketiga-tiga pegawai imigresen ini telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Sumber itu berkata sehingga kini, 53 individu termasuk 33 pegawai imigresen yang bertugas di KLIA, klia2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru, Johor ditahan menerusi Ops Selat yang dilancarkan 16 November lepas.

Ops Selat digerakkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen, yang membabitkan serbuan di Putrajaya; Johor Bahru, Johor; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button