Berita UtamaDunia

Pegawai Turkiye, Sweden bertemu bincang isu anggota NATO

Mesyuarat disertai ketua perisikan dan penasihat keselamatan negara

BRUSSELS, 17 Zulhijjah 1444H, Khamis – Pegawai kanan Sweden dan Turkiye mengadakan pertemuan di ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi meneliti bantahan Recep Tayyip Erdogan terhadap negara Nordik itu menyertai pakatan tentera.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg akan mengetuai mesyuarat itu, yang turut melibatkan menteri-menteri luar negara, ketua perisikan dan penasihat keselamatan negara.

Pegawai tertinggi dari Finland, yang menyertai NATO April lalu, juga mengambil bahagian dalam pertemuan berkenaan.

Buat masa ini hanya Turkiye dan Hungary sahaja yang menangguhkan keahlian Sweden menjadi ahli NATO meskipun Sweden telah memenuhi tuntutan Turkiye.

Stoltenberg berkata, negara Nordik itu telah memenuhi semua permintaan Turkiye dan Sweden turut mengubah undang-undang anti-keganasan dan menarik balik sekatan senjata ke atas Turkiye.

Tetapi Turkiye mendakwa Sweden terlalu berlembut terhadap kumpulan yang didakwa menimbulkan ancaman keselamatan, termasuk kumpulan militan Kurdish dan orang yang dikaitkan dengan percubaan rampasan kuasa 2016.

Kementerian Luar Turkiye berkata kedua-dua pihak akan mengkaji semula langkah yang diambil Finland dan Sweden, terutamanya dalam konteks memerangi keganasan, dalam pertemuan terakhir, yang diadakan di Ankara pada 14 Jun.

Hungary juga menangguh kelulusan bagi keahlian Sweden tetapi tidak pernah menyatakan secara terbuka.

Pegawai NATO menjangkakan Hungary akan meluluskan keahlian berkenaan sebaik sahaja Turkiye menarik balik bantahannya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button