Berita Utama

Kewujudan sekolah vernakular bertentangan dengan Perlembagaan

Pelik! Malaysia masih ada SJKC/SJKT walhal negara jiran hanya satu aliran

BANGI, 11 Rejab 1442H, Selasa – Kenapa Malaysia masih mempunyai sekolah vernakular, sedangkan negara jiran seperti Singapura, Indonesia serta Thailand yang mempunyai ramai kaum Cina sudah mengamalkan pendidikan satu aliran.

Jaringan NGO Sedar (SEDAR) juga hairan apabila Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Melayu dan Inggeris tidak lagi wujud, namun SJK Cina serta Tamil masih bertahan sehingga sekarang.

Penasihat Undang-Undang SEDAR, Mej (B) Meor Rosli Meor M Jaafar berkata, persoalan undang-undang itulah yang harus dihujahkan berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

“Bagi SEDAR, Perlembagaan adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa jua undang-undang yang diluluskan selepas kemerdekaan yang tidak selaras dengan Perlembagaan adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

“Oleh itu, SEDAR dengan tegasnya mengatakan bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berpendapat, Parlimen tiada kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996, berkaitan dengan sekolah jenis kebangsaan kerana hal-hal berhubung pelajaran serta pendidikan bagi maksud rasmi hendaklah merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Akta Pendidikan 1996 diluluskan untuk meminda Ordinan Pendidikan 1957 dan Akta Pendidikan 1961.

“SEDAR menyatakan Parlimen tiada kuasa untuk membolehkan menteri pendidikan menyentuh soal penubuhan SJKC dan SJKT.

“Ini kerana Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan menteri pendidikan tiada kuasa untuk berbuat demikian,” katanya.

Mej Meor Rosli berkata, ketiadaan kuasa Parlimen untuk membuat Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, beliau mendesak kerajaan bersikap tegas dalam isu sekolah vernakular kerana ia akan menyemarakkan isu perkauman di negara ini.

“Sekali gus mengancam perpaduan nasional. Kerajaan tidak boleh menjadi adil dengan hanya membiarkan semua pihak memikirkan kepentingan masing-masing kerana ia akan lebih memburukkan lagi keadaan terutama perpaduan nasional.

“Kerajaan tidak harus takut kerana semua negara jiran kita dalam ASEAN tidak  benarkan sekolah vernakular di negara mereka. Kenapa kita harus bersikap berbeza?

“Isu perkauman di Malaysia adalah seperti bom jangka yang mampu meledak jika tidak dimusnahkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button