Berita Utama

Perak galak masjid tubuh koperasi untuk jana pendapatan

Sekuriti makanan diletakkan sebagai agenda utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030

IPOH, 19 Syawal 1444H, Rabu – Kerajaan Negeri Perak menggalakkan pengurusan masjid di negeri itu menubuhkan koperasi sendiri untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kewujudan koperasi di sesebuah masjid dapat memberi manfaat kepada ahli kariah masjid berkenaan seperti melalui pembayaran dividen hasil keuntungan daripada aktiviti perniagaan yang dijalankan.

“Paling kurang pun pihak pengurusan masjid (apabila koperasi ditubuhkan) boleh buka kedai runcit di dalam kawasan masjid. 

“Sebagai contoh Masjid Nurussalam Batu 4 di Gerik yang membuka pasar mini menjual barangan keperluan harian dan medapat keuntungan seterusnya boleh mengeluarkan dividen kepada ahli koperasi,” katanya.

Terdahulu, Saarani dalam ucapannya mengumumkan insentif penghargaan berjumlah RM33,000 kepada 11 koperasi tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik di Malaysia bagi 2022.

Menurutnya, insentif itu sebagai menghargai sumbangan koperasi berkenaan kepada peningkatan sosioekonomi ahli koperasi di negeri ini.

Sementara itu, Saarani berkata, penyertaan koperasi dalam aktiviti pertanian dan industri asas tani amat digalakkan bagi membantu kerajaan negeri memastikan bekalan makanan negara terus stabil dan boleh diperoleh dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata kerajaan negeri meletakkan sekuriti makanan sebagai agenda utama dalam pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memastikan rakyat dibekalkan dengan keperluan makanan yang bukan sahaja mencukupi tetapi juga dijual dengan harga yang berpatutan.

“Oleh sebab itu, saya mengajak penggiat sektor koperasi untuk mengambil peluang dengan menyahut cabaran ini. 

“Koperasi juga perlu bergerak proaktif membantu kerajaan menangani isu-isu semasa yang melingkari kehidupan rakyat terutamanya isu kos sara hidup, keperluan bekalan makanan serta manipulasi harga barangan keperluan asas oleh pihak ketiga atau orang tengah,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button