Berita UtamaDunia

Bekas PM Sudan meninggal dunia kerana COVID-19

KHARTOUM, 10 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Bekas Perdana Menteri Sudan, Sadiq al-Mahdi meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, hari ini, lapor Parti Umma Nasional.

Sadiq, 84, yang juga pemimpin parti itu menerima rawatan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tiga minggu lalu selepas disahkan positif wabak berkenaan.

“Kami mengucapkan takziah kepada rakyat Sudan atas kematian beliau,” kata jurucakap parti itu dalam kenyataan.

Sadiq adalah Perdana Menteri terakhir dipilih secara demokratik di negara itu sebelum digulingkan pada 1989.

Sadiq digulingkan Presiden negara itu, Omar al-Bashir sebelum rampasan kuasa tentera disokong pemimpin Islam.

Sadiq turut dikenali sebagai tokoh pembangkang yang kuat sepanjang pemerintahan Omar selain menjadi individu penting di sebalik tunjuk perasaan besar-besaran, yang akhirnya mendorong tentera menggulingkan Presiden itu tahun lalu.

Akibat daripada penggulingan itu, Omar dipenjarakan di Penjara Kober dengan kawalan keselamatan tinggi di samping didapati bersalah pada Disember tahun lalu atas kesalahan rasuah.

Omar kini didakwa atas peranannya dalam kudeta 1989, malah Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut menuduhnya melakukan jenayah perang dalam perang Darfur pada 2003.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Omar dan tertuduh bersama – termasuk bekas pegawai atasan – boleh dikenakan hukuman mati.

Sudan setakat ini mencatatkan hampir 17,000 kes COVID-19 dengan lebih daripada 1,200 kematian. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button