Berita Utama

Lebih 2,000 penjawat awam disiasat kes rasuah, salah guna kuasa

Kes disiasat antara tempoh 2016 hingga September 2020

KUALA LUMPUR, 10 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 2,287 kertas siasatan ke atas penjawat awam didakwa terbabit rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Kertas siasatan itu dibuka sepanjang tempoh 2016 hingga September 2020, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

“SPRM selaku agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.

“Pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dilaksanakan sebagai pencetus usaha pencegahan rasuah, sebagai contoh setiap agensi perlu ‘tools’ seperti Pelan Pengurusan Risiko Rasuah(CRM), Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan ‘Anti Bribery Management System’ dalam usaha mengekang perlakuan rasuah,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Takiyuddin berkata demikian menjawab soalan lisan daripada Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR- KAPAR) yang mahu Perdana Menteri menyatakan statistik salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan apakah langkah pencegahan yang sedang dilakukan.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 139 agensi terbabit dengan CRM, manakala 40 yang lain dalam OACP.

Katanya, kerajaan turut mengambil inisiatif untuk memasukkan elemen pencegahan rasuah dalam sistem akademik atau pendidikan formal di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Perkara ini adalah selaras dengan inisiatif 2.4.7 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu memperkenalkan kursus mata pelajaran wajib universiti pada peringkat ijazah pertama yang menekankan kepada aspek hubungan antara manusia dan implikasi terhadap persekitaran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button