Berita Utama

Moratorium automatik dilanjutkan untuk B40, PKS

Perlu kemuka permohonan tapi tanpa sebarang dokumen

KUALA LUMPUR, 10 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman secara automatik bagi mereka yang berada dalam kelompok B40 dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ini bermakna mereka yang berada dalam kelompok pendapatan B40 dan PKS tidak perlu mengemukakan apa-apa dokumen bagi menyatakan mereka berhak mendapat moratorium tiga bulan yang akan dilaksanakan hingga Disember tahun ini.

“Mereka yang berada dalam kelompok pendapatan B40 dan PKS juga akan diluluskan permohonan masing-masing oleh bank dalam masa 24 jam. Tidak perlu dokumen,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul bercakap semasa ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Parlimen, hari ini

Manakala bagi mereka yang berada dalam kumpulan pendapatan M40, Tengku Zafrul berkata, hanya perlu membuat permohonan tanpa dokumen di bank masing-masing dan ia akan diluluskan dalam satu hingga lima hari.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih daripada 700,000 rakyat Malaysia telah memohon moratorium tahap kedua, yang kini berada di bawah Belanjawan 2021.

Katanya, kerajaan akan terus melibatkan bank kerana moratorium walaupun 85 peratus daripada mereka yang mendapat manfaat pada tahap pertama moratorium telah mulai membayar balik pinjaman mereka.

Fasa pertama moratorium adalah selama enam bulan dari bulan Mac hingga Oktober tahun ini.

Di bawah Belanjawan 2021, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa B40 dan PKS dapat memilih moratorium tiga bulan atau pengurangan 50 peratus ansuran bulanan mereka selama enam bulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button