Berita Utama

Pengaruh psikologi rakyat sasaran utama cegah COVID-19

Kejayaan banteras komunis ketika zaman darurat antara contoh terbaik

BANGI, 10 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Tindakan mempengaruhi psikologi rakyat adalah penting dan perlu dijadikan sasaran utama dalam kempen pencegahan pandemik COVID-19 secara efektif.

Penganalisis Politik dan Sosial Subang Jaya, Datuk M Periasamy berkata, usaha membendung COVID-19 tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa penyertaan bersama rakyat.

Beliau berkata, jentera komunikasi kerajaan perlu digerakkan untuk merancang strategi di semua peringkat bagi menjayakan usaha baharu itu.

“Di samping memperuntukkan RM32 bilion untuk Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memperuntukkan RM4 bilion bagi membendung pandemik COVID-19,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Periasamy berkata, kejayaan membanteras ancaman komunis sewaktu zaman darurat adalah contoh terbaik yang memperlihatkan sokongan dan kerjasama antara rakyat dan kerajaan.

Beliau berkata, sokongan padu hasil langkah kerajaan memenangi hati dan minda rakyat ketika itu menyebabkan mereka menolak gerakan komunis.

“Peristiwa dan pengalaman ini harus dijadikan pedoman membendung COVID-19 dengan mengguna pakai kaedah sama,” katanya.

Selain itu, beliau menyarankan kempen berbentuk gerak saraf perlu dijalankan bagi membendung penularan COVID-19.

Sebelum ini, katanya, bahagian gerak saraf dan perang saraf diterajui Jabatan Penerangan sekitar 1950-an dan 1960-an telah melaksanakan peranan dengan mantap untuk mempengaruhi psikologi rakyat, selain menyuntik semangat menentang pengganas komunis di bandar serta luar bandar.

Justeru, katanya, anggota Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang telah dilatih dalam bidang berkenaan boleh memainkan peranan bersama agensi komunikasi kerajaan dalam menjalankan aktiviti membendung COVID-19.

“Peruntukan khas hampir RM85 juta untuk JASA dalam Belanjawan 2021 menjadi bahan perbincangan panas dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan 2021), boleh membantu usaha kerajaan membendung pandemik lebih berkesan.

“Justeru, kita harus mengetepikan segala perdebatan dan polemik bermotifkan kepentingan politik semata-mata terhadap Belanjawan 2021 kali ini, sebaliknya bersatu menggembleng tenaga bersama kerajaan dalam menyokong usul perbekalan (Belanjawan 2021).

“Ia dirangka untuk membantu rakyat terkesan pandemik dan membendung COVID-19, sekali gus menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button