Berita Utama

SPRM serbu 4 pejabat pengurusan royalti artis

Royalti dikutip dipercayai tak disalur kepada artis, pencipta lagu

KUALA LUMPUR, 10 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Recording Performers Malaysia (RPM) antara empat pejabat badan pengurusan royalti artis yang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi membantu siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Tiga pejabat lain yang diserbu dalam operasi sama adalah Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

Menurut sumber, SPRM memulakan siasatan susulan maklumat dirujuk oleh Presiden Karyawan berhubung isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima daripada pengusaha industri di Malaysia bagi tujuan persembahan awam – di mana royalti yang dikutip tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

“Satu operasi dijalankan semalam di empat pejabat yang dipercayai terlibat dalam proses kutipan royalti iaitu PPM, RPM, MACP dan PRISM.

“Setakat ini, SPRM sedang mengambil dokumen- dokumen yang terlibat untuk kajian dan penelitian. Beberapa individu yang terlibat akan dipanggil untuk membantu penyiasatan ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

Namun, katanya masih terlalu awal untuk memberi sebarang komen.

“Untuk berlaku adil, semua pihak diminta untuk tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button