Berita Utama

CUEPACS harap skim pekerja kontrak JKM setimpal deskripsi kerja

Perlu terima keistimewaan dinikmati penjawat awam lain

KUALA LUMPUR, 27 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun depan setimpal dengan deskripsi kerja yang akan dilaksanakan oleh mereka.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pekerja lantikan kontrak berkenaan perlu menerima keistimewaan yang dinikmati penjawat awam lain di samping hal-hal kebajikan mereka turut dijaga.

“Sekiranya ada kekosongan untuk jawatan tetap, berikanlah keutamaan untuk mereka ini memasuki perkhidmatan secara tetap, berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat. Jangan disia-siakan pengalaman dan khidmat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam mengenai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak untuk JKM tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata, langkah itu adalah selaras dengan penstrukturan semula JKM yang bertujuan meringankan beban kakitangan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan terhadap rakyat dapat diperkasakan.

JKM ketika ini merupakan antara agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial. Justeru, langkah KPWKM menyantuni golongan sasaran terutama ketika pandemik COVID-19 adalah langkah yang tepat dan wajar disokong oleh semua pihak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button