Berita UtamaIstimewa

‘Tangkap juga pemberi rasuah, jangan penerima saja’

Pentadbir kerajaan, orang politik wajib perangi rasuah serta-merta

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Usaha membanteras jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa mesti bermula daripada peringkat atas hingga bawah – ia bagi memastikan ‘jerung’ turut ditangkap. 

Tanggungjawab itu bukan terletak pada ‘bahu’ penjawat awam semata-mata, tetapi pada pentadbir kerajaan Malaysia yang mempunyai kuasa, kata Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari. 

“Pentadbir kerajaan Malaysia terutama orang politik wajib memerangi rasuah serta-merta,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net. 

SPRM sebelum ini mendedahkan lebih 30,000 warga asing bolos dan RM14.5 juta wang sogokan diagihkan dalam kalangan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sepanjang tempoh empat tahun.

Angka itu diperoleh hasil penahanan anggota dan pegawai JIM yang mendedahkan aktiviti rasuah menerusi proses penyediaan kaunter khas sejak 2017.

Secara purata, setiap tahun, sejak empat tahun lalu, RM3.6 juta dipercayai diagihkan sesama anggota dan pegawai JIM yang terbabit dengan sindiket ini.

Wang tunai RM800,000, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi turut dirampas di mana jumlah berkenaan tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya yang turut dirampas.

Mengulas penangkapan itu, Mohd Nor Izzat berkata, pembabitan anggota JIM dalam isu sindiket cop imigresen tidak begitu mengejutkan, malah ramai juga mempertikai bagaimana Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) boleh bolos ke negara ini.

“Bagaimana atau siapa yang ditahan, memang menyedihkan tetapi lebih menyedihkan, pihak SPRM dan media tidak pula mendedahkan siapa pemberi rasuah atau siapa dalang sindiket,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan yang kebanyakan kakitangan ditangkap adalah orang Melayu, Mohd Izzat turut mempersoalkan hakikat sebenarnya siapa dalang atau pemberi rasuah.

“Dalam hal kedaulatan, suka saya ingin tarik perhatian semua, rasuah bukan sahaja penerima tetapi pemberi yang perlu ditahan,” tegasnya.

Serentak itu, beliau menggesa supaya agensi kerajaan terbabit bertindak serius terhadap pelaku tidak kira dari peringkat bawahan mahupun atasan.

“Berubahlah segera atau gelombang suara rakyat sebenar melalui NGO akan bangkit buat perubahan tersebut. 

“Ingat, suara rakyat, suara keramat. Suara politik, bergantung pada rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button