APMM usir lebih 300 bot nelayan Indonesia ceroboh perairan Perak
173 bot ceroboh perairan Pulau Jarak diusir bulan ini

LUMUT, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengusir 363 bot nelayan Indonesia kerana menceroboh perairan negeri Perak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu hingga semalam.
Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, bagi bulan ini sahaja sebanyak 173 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak, dekat sini, berjaya diusir.
Katanya pada 9 November lalu, Kapal Maritim (KM) Malawali mengusir sembilan bot disusuli 127 bot bagi tempoh 16 hingga 20 November pada jarak kira-kira 23.6 sehingga 25.7 batu nautika Barat Laut, Pulau Jarak.
“Semalam KM Rawa pula telah mengusir 37 bot nelayan negara jiran itu di kedudukan 28.8 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua bot yang diusir masing-masing membawa lima hingga lapan kru termasuk tekong dengan peralatan menangkap ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zubil berkata, tindakan pengusiran bot nelayan asing itu merupakan usaha untuk mengekang penyebaran pandemik COVID-19 serta membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menurunkan graf kebolehjangkitan wabak tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Aset Maritim Malaysia yang merangkumi kapal, bot pemintas, pesawat udara dan radar akan terus mengawasi dengan ketat sempadan perairan negara melalui peningkatan rondaan penguatkuasaan serta pengutipan maklumat perisikan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zubil berkata, pihaknya telah menghubungi rakan sejawatnya di Indonesia dan Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang untuk membantu menangani isu pencerobohan bot nelayan dan pendatang asing negara itu ke perairan Malaysia. -Bernama