Berita Utama

Belanjawan 2021 lulus manifestasi kebijaksanaan Agong

Ia bukan 'lesen' untuk PN ambil mudah, masih banyak kekurangan

BANGI, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar membuktikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mengendalikan kestabilan negara di tengah polemik politik yang tidak berpenghujung.

Sebagai ketua negara, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berjaya memainkan peranan penting sebagai payung yang menyatukan dan menaungi seluruh pemimpin negara demi kemaslahatan rakyat.

Kelulusan RUU itu juga sekali gus memberikan kelegaan besar kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus kekal memerintah.

Namun, Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Abdul Hakim Muhammad mengingatkan barisan kerajaan bahawa kelulusan itu bukan ‘lesen’ untuk diambil mudah.

“Masih banyak kekurangan yang perlu ditanggung. Diharapkan ini merupakan satu titik mula yang produktif bagi kerajaan PN untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan kemakmuran negara.

“Berprinsipkan semangat setia kawan yang dipandu agenda nasional, semoga kerajaan dan pembangkang dapat berfikir serta bertindak dengan lebih matang tanpa mengira warna bendera politik dalam pelbagai isu yang terkait kepentingan umum rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam persidangan Dewan Rakyat semalam, Belanjawan 2021 yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan sebulat suara majoriti Ahli Parlimen.

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang, manakala kurang 15 yang lain tidak bersetuju.

Mengulas perkara itu, Muhammad Lukman menyifatkan tindakan segelintir Ahli Parlimen terbabit sebagai tidak produktif dan bukan pada waktu yang tepat, meskipun  hak mereka dilindungi Perlembagaan.

“Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya rakyat tahu siapa mereka dan agenda di belakang perjuangan mereka.

“Kita perlu bergerak ke hadapan. Masih banyak kerja, padahal yang tersisa hanya sedikit masa. Ayuh, rancang dan berjuang sepanjang 2021 dengan penuh bergaya,” katanya.

Kelulusan RUU itu akan membenarkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button