Berita Utama

Belanjawan 2021: Persatuan bekas polis hargai bantuan ‘one-off’ diperluas

Syor kerajaan timbang bantu penerima PJPN meninggal dunia

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terhadap penambahbaikan bantuan untuk pesara serta bekas polis dalam Belanjawan 2021, semalam.

Presidennya, Datuk Haji Hussin Awang Ngah berkata, penambahbaikan bantuan secara ‘one-off’ itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap bekas anggota polis yang tidak bersara.

Beliau berkata, terdapat bekas anggota polis tidak bersara, di mana yang berkhidmat sebagai ‘Home Guard (HG)’ dan ‘Special Constable (SC)’ ketika era darurat dahulu.

“Disebabkan itu, saya membuat permohonan kepada YAB Perdana Menteri supaya bantuan secara ‘one-off’ diperluaskan kepada bekas polis yang tidak bersara ini.

“Ini kerana, kebanyakan mereka yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) adalah berkhidmat sebagai HG dan SC, dan mereka ini tidak berpencen,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat semalam, kerajaan bersetuju meluaskan kategori penerima pemberian ‘one-off’ yang sebelum ini diberikan kepada pesara polis yang menerima PJPN kepada pesara dan bekas polis.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, inisiatif pemberian secara ‘one-off’ sebanyak RM500 itu akan memberi manfaat kepada 80,000 penerima membabitkan RM40 juta.

Menghargai pengumuman itu, Hussin turut mencadangkan kerajaan mempertimbang juga pemberian bantuan kepada penerima PJPN yang telah meninggal dunia.

“Kita harap kerajaan boleh beri juga bantuan one-off ini kepada semua penerima pingat yang layak, termasuk yang sudah meninggal dunia.

“Jika dia sudah meninggal dunia, bantuan itu bolehlah diberikan kepada warisnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button