Berita Utama

COVID-19: Jumlah kumulatif kes sembuh di Malaysia lebih 50,000

Kes baharu harian hari ini adalah sebanyak 1,109

PUTRAJAYA, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Malaysia mencatatkan jumlah kumulatif kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 hari ini melebihi 50,000 dengan 1,148 kes sembuh direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh COVID-19 sepenuhnya sebanyak 50,204 atau 81.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Semalam, Malaysia mencatatkan rekod tertinggi kes baharu sembuh daripada jangkitan COVID-19 sebanyak 2,555 kes.

Dr Noor Hisham berkata kes baharu harian COVID-19 yang dicatatkan pada hari ini adalah sebanyak 1,109 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 61,861 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,307 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,099 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Sabah mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 441 kes (39.8 peratus), diikuti Selangor dengan 175 kes atau 15.8 peratus dan Negeri Sembilan yang merekodkan 167 kes atau 15.1 peratus.

Sehingga kini, katanya terdapat 113 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 41 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata terdapat dua pertambahan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 350 kes (0.57 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian ke-349 melibatkan lelaki bukan warga tempatan berusia 47 tahun yang meninggal dunia di Hospital Semporna dan mempunyai latar belakang penyakit jantung manakala kes kematian ke-350 juga melibatkan lelaki bukan warga tempatan berumur 64 tahun yang disahkan meninggal dunia di Hospital Labuan serta mempunyai rekod serangan strok. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button