Berita Utama

Isytihar ‘perang’ Belanjawan 2021 , pembangkang lupa teguran Agong

Alasan diberikan untuk tolak belanjawan dangkal, bermotif politik

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Hasrat pembangkang untuk mencabar Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa membuktikan teguran daripada Yang di-Pertuan Agong tidak memberi kesan kepada mereka.

Malah, alasan diberikan untuk menidakkan kelulusan belanjawan yang dibentuk bagi memperbaiki keadaan ekonomi dan membolehkan negara berdepan wabak COVID-19 dengan baik itu juga disifatkan sebagai dangkal.

Antara kecewa dengan sikap tersebut adalah Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz yang tidak menyangka masih ramai Ahli Parlimen mahu bermain politik pada ketika ini.

Tegas beliau, ia khususnya dalam kalangan ahli politik veteran yang sepatutnya sudah cukup matang dan perlu menjadi contoh tauladan baik.

“Malah, ada di antara mereka seolah-olah sudah mengisytiharkan akan ‘peperangan’ dalam fasa yang akan datang dalam perbincangan di peringkat jawatankuasa dan pembentangan kali ketiga dan undian kedua.

“Seolah-olah titah Yang di-Pertuan Agong tidak ada dalam kamus mereka untuk mencapai kesepakatan dalam mencari penyelesaian terbaik untuk belanjawan bagi menghadapi krisis ekonomi dan pandemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke mengaku bertanggungjawab memberikan arahan kepada Ahli-Ahli Parlimen daripada parti itu supaya tidak bangun meminta undi belah bahagi untuk menolak Belanjawan 2021, semalam.

Loke berkata, tindakan itu dibuat selepas mendapat mesej daripada pihak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun tidak bangun meminta undi belah bahagi, Loke berkata, ia bukan bermakna DAP dan parti pembangkang lain menyokong sepenuhnya belanjawan itu.

“Mengapa kita tidak undi belah bahagi hari ini? Sebabnya ialah kita tidak menolak keseluruhan belanjawan tersebut.

“Ada perkara yang kita boleh bersetuju dan sokong seperti pembayaran gaji untuk kakitangan awam, elaun khas untuk frontliners, bantuan tunai kepada rakyat, subsidi gaji untuk majikan, peruntukan untuk pengangkutan seperti MY30 dan lain-lain peruntukan yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

“Bayangkan, kalau semua Ahli Parlimen pembangkang bangun mohon undi belah bahagi, apakah serangan pula daripada pihak Perikatan Nasional? Mereka akan tuduh Pakatan Harapan ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Badrulhisham berkata, pihaknya lega dan bersyukur apabila Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar.

Beliau berkata, keprihatinan kerajaan dalam mendengar dan menerima cadangan balas daripada Ahli-Ahli Parlimen dan pihak lain amat dialu-alukan.

“Kita berharap proses kelulusan seterusnya di Parlimen akan berjalan dengan lancar.

“Kefahaman dan kematangan Ahli-Ahli Parlimen amat diharapkan agar belanjawan untuk kepentingan rakyat dapat diluluskan dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button