Berita Utama

Adly Zahari gagal dapat kebenaran mahkamah batalkan PRN Melaka

Hakim tolak permohonan dan putuskan keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka bubarkan DUN Melaka tidak boleh diadili

KUALA LUMPUR, 15 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov.

Adly yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil dalam permohonan untuk memulakan semakan kehakiman, juga telah memohon pengisytiharan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 pada 4 Okt lepas, adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika menolak permohonan Adly, memutuskan bahawa keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka, tidak boleh diadili.

Hakim Noorin dalam penghakiman ringkasnya berkata, berpandukan Perkara 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, membenarkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, setelah tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN, untuk membuat keputusan memohon kepada responden keempat (Mohd Ali) bagi membubarkan DUN.

“Susulan permintaan responden pertama (Sulaiman), responden keempat (Mohd Ali) telah mempertimbangkan dan bersetuju dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 berkuat kuasa 4 Okt lepas, kerana beliau diberi kuasa untuk berbuat demikian mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri.

“Mahkamah ini mendapati bahawa sejak awal lagi tidak pernah ada nasihat yang diberikan oleh responden pertama kepada responden keempat untuk membubarkan Dewan.

Hanya ada permintaan dan berdasarkan permintaan itu, responden keempat boleh mengambil langkah-langkah berdasarkan Perkara 7 (4) perlembagaan berkenaan untuk memperkenankan permintaan pembubaran tersebut.

“Responden keempat telah menggunakan kuasanya dengan betul di bawah Perkara 19 (2) perlembagaan. Ini adalah proses yang telah diambil oleh responden keempat,” kata hakim Noorin.

Hakim seterusnya berkata, bahawa pembubaran DUN adalah tidak boleh diadili dan diterima untuk semakan kehakiman.

“Perkara tersebut telah diselesaikan. Tiada merit untuk mengemukakan hujah lanjutan dan permohonan ini ditolak tanpa perintah berhubung kos,” tambahnya.

Adly, 50, memfailkan permohonan itu dengan menamakan Sulaiman, Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohd Ali masing-masing sebagai responden pertama, kedua, ketiga dan keempat. – Bernama

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button