Berita Utama

Rakyat menang bila Belanjawan 2021 diluluskan

Ahli Parlimen perlu letak kepentingan negara atasi politik kepartian

BANGI, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Sokongan majoriti Ahli Parlimen terhadap Belanjawan 2021 yang diluluskan semalam membuktikan bahawa mereka lebih mengutamakan kepentingan negara berbanding politik.

Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, ia satu langkah wajar dipuji memandangkan sokongan Ahli Parlimen sangat kritikal.

Beliau berkata, sekiranya belanjawan kali ini ditolak, negara dan rakyat akan diheret ke kancah politik yang berpanjangan.

“Kematangan ini wajar diteruskan kerana berpolitik ada batasnya. Ahli Politik perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi politik kepartian.

“Rakyat akan lebih menghormati ahli politik jika bersikap terbuka dan jujur dalam memperjuangkan kesejahteraan mereka,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Terdahulu, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Belanjawan, yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November lepas dan seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 November hingga 19 November.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Izani berkata, sokongan belanjawan kali ini juga bertitik tolak daripada keterbukaan pihak kerajaan untuk mendengar dan menerima cadangan Ahli Parlimen bagi menjadikannya lebih berkesan dan berjiwa rakyat.

Beliau berkata, perkara itu boleh dilihat apabila kerajaan bersetuju untuk membenar dan memperluaskan pengeluaran wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui program i-Sinar.

Katanya, realiti kerajaan yang mempunyai majoriti tipis turut mendorong proses kelulusan belanjawan berlaku dengan baik kerana mereka perlu mendapatkan sokongan semua pihak termasuk pembangkang.

Selain itu, Dr Mohd Izani menyifatkan belanjawan kali ini sangat dinamik disebabkan setiap pihak sama ada kerajaan dan pembangkang mahu menawarkan perkara terbaik untuk rakyat.

Beliau berkata, cabaran kehidupan yang semakin getir dihadapi rakyat menjadi fokus kepada perbahasan di Parlimen.

“…apabila semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang mahu mencadangkan cadangan bernas untuk dimasukkan dalam belanjawan, ia sebenarnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Apabila belanjawan ini diluluskan, rakyatlah pemenang yang sebenarnya. Rakyat mendapat banyak faedah daripada pindaan belanjawan yang dilakukan.

“Secara tuntasnya, Belanjawan 2021 sangat kritikal ketika negara masih menangani penularan pandemik COVID-19. Selepas belanjawan ini diluluskan, langkah seterusnya adalah memastikan peruntukan yang disediakan ini dibelanja secara berhemah dan sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button