Berita Utama

RM20,000 ganjaran salur maklumat jenayah alam sekitar di Selangor⁠

Pastikan orang awam terlibat banteras kegiatan jenayah alam

SHAH ALAM, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Selangor menawarkan ganjaran berjumlah RM20,000 kepada orang awam yang menyalurkan maklumat mengenai jenayah alam sekitar di negeri itu, sehingga pelakunya dapat dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ganjaran itu adalah bagi memastikan orang awam turut terlibat, dalam membanteras kegiatan jenayah alam sekitar di negeri berkenaan.

Beliau berkata maklumat berterusan dan berguna diperlukan, supaya pelaku jenayah alam sekitar dapat diberkas serta didakwa, sehingga disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Kerajaan negeri telah merangka pelbagai strategi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, bagi meminimumkan kesan pencemaran sungai terhadap warga Selangor.

“Dengan sokongan serta penglibatan orang awam, tanggungjawab bersama untuk memelihara sumber air akan menjadi lebih berkesan, dan diharapkan mampu menggugat kegiatan jenayah tidak beretika itu,” katanya dalam status dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Pada 10 Nov lepas, Kementerian Alam Sekitar dan Air, juga menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada mana-mana pihak yang menyalurkan maklumat serta bukti, sehingga tertangkapnya pencemar sumber air mentah di Sungai Selangor, yang menjadi punca gangguan bekalan air. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button