Berita Utama

Tembak sempadan: Norihan sedar, tunjuk perkembangan positif

Menunjukkan reaksi setiap kali ada orang bercakap dengannya

GEORGE TOWN, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari, 39, yang ditembak semasa bertugas di Pos Sempadan Malaysia-Thailand, telah sedar dan mula menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga peluru di dalam badannya semalam.

yang melawat Norihan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), berkata Norihan menunjukkan reaksi setiap kali beliau bercakap dengannya.

“Saya pergi melawat Norihan di HPP pagi ini dan beliau mula menunjukkan respons yang baik termasuk bercakap dengan saya walaupun masih lemah… tapi semangat dia untuk pulih nampak kuat.

“Saya juga maklumkan kepada Norihan supaya sabar, fokus untuk sihat dan tidak perlu bimbang dengan hal keluarganya kerana pihak polis memberi jaminan menjaga keselamatan mereka termasuk isterinya yang bersama saya ketika melawat beliau di ICU,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya beliau juga dimaklumkan oleh doktor yang merawat Norihan, pasukan perubatan termasuk pakar sedang membuat penilaian berhubung sebutir lagi peluru berdekatan dengan paru-paru anggota PGA itu yang masih belum dikeluarkan.

“Sama ada perlu pembedahan susulan untuk keluarkan peluru ketiga itu bergantung pada penilaian pakar-pakar perubatan dan keadaan kesihatan Norihan,” katanya.

Semalam, Norihan menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga butir peluru di dalam badannya akibat terkena tembakan kumpulan penyeludup dalam insiden berbalas tembak, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 Padang Besar, sempadan Malaysia-Thailand di Perlis pada awal pagi Selasa.

Norihan yang sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dipindahkan ke HPP pada Rabu untuk rawatan susulan.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, rakan sepasukan Norihan, Kpl Baharuddin Ramli, 54, maut.

Kedua-duanya yang dinaikkan pangkat Sarjan selepas kejadian, merupakan anggota Batalion 3 atau Senoi Praaq PGA yang berpangkalan di Perak, dan terlibat dalam operasi pengumpulan maklumat ketika terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup, mengakibatkan berlaku kejadian berbalas tembak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button