Berita UtamaDunia

Zionis serang penunjuk perasaan, puluhan rakyat Palestin cedera

Tunjuk perasaan bagi bantah penempatan haram sedang dibina

NABLUS, 11 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Puluhan warga Palestin cedera dalam serangan rejim pengganas Israel di kampung Beit Dajan, dekat Timur Nablus.

Serangan berkenaan dilakukan ketika penduduk Palestin melakukan tunjuk perasaan akibat pembinaan penempatan haram baharu yang sedang dilakukan di kawasan berkenaan.

Ketika kejadian, rejim Zionis melepaskan gas pemedih mata, bom tangan dan peluru keluli bersalut getah ke arah penunjuk perasaan.

Ia mengakibatkan puluhan daripada mereka sesak nafas, selain tujuh daripadanya cedera akibat terkena peluru getah.

Perkampungan itu menjadi lokasi tunjuk perasaan mingguan oleh warga Palestin yang membantah tindakan biadab penduduk haram membina penempatan baharu di negara itu.

Penduduk haram bukan sahaja bertindak membina penempatan baharu, malah mereka turut membina gudang haiwan, memperluas saluran air serta membina jalan baharu.

Mereka turut melakukan kerosakan dan merampas ratusan ekar tanah penduduk kampung Palestin.

Terletak 12 kilometer dari Timur Kota Nablus, Beit Dajan mempunyai populasi sekitar 4,700 penduduk dan mempunyai keluasan 44,100 ekar.

Sebahagian besar tanah di perkampungan itu dirampas untuk pembinaan penempatan haram Al-Hamra dan Mekhora pada 1971 dan 1973.

Desa itu bergantung hidup pada kebun bijirin dan pokok buah-buahan seperti zaitun, ara dan badam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button