Berita Utama

Belanjawan 2021: Anwar mohon maaf atau DAP tinggalkan PKR?

Beri laluan mudah lulus belanjawan memalukan DAP: DAPSY

BANGI, 12 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memohon maaf mengenai tindakannya meminta Ketua Whip parti pembangkang agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021.

Jika perkara itu tidak dilakukan, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyarankan DAP memutuskan hubungan dengan PKR, membubarkan PH dan menyusun semula barisan pembangkang di Malaysia.

Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Eric Teh Hioong Keat berkata, pihak pembangkang bukan sahaja tidak dapat menghantar 15 Ahli Parlimen untuk mencapai syarat minimum undi belah bahagi, malah terus memberi laluan kepada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melepasi halangan dengan mudah.

Beliau menyifatkan insiden berkenaan sebagai saat yang paling memalukan dalam sejarah DAP dan bertegas bahawa kata-kata yang diuar-uarkan PH tidak konsisten dengan perbuatan mereka.

Eric juga menyifatkan penjelasan yang diberikan Ahli Parlimen pembangkang bahawa mereka hanya akan menyokong usul undi belah-bahagi di peringkat jawatankuasa serta bacaan ketiga sebagai tidak bertanggungjawab.

Baginya, Anwar bukan sahaja gagal mengembalikan semangat PH dalam Parlimen, malah menghancurkan kredibiliti parti bekas pemerintah itu.

“Sekiranya DSAI masih menegaskan bahawa penilaiannya adalah betul dan tepat, maka pemimpin pusat DAP harus berpisah dengan PKR, tidak lagi bersekutu dengan PKR.

“Biarlah Pakatan Harapan dibubarkan dan menjalinkan hubungan kerjasama yang paling minimum dengan parti-parti pembangkang yang lain,” katanya seperti dilapor Astro Awani hari ini.

Sebelum ini, Anwar mengakui membuat keputusan dan meminta Ketua Whip parti pembangkang agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Katanya, tindakan itu diambil bagi memberi ruang Ahli Parlimen meneliti secara terperinci dan mendalami keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan.

“Walaupun rakan-rakan khususnya YB Lim Guan Eng dan YB Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang serta Pengerusi Pakatan Harapan untuk meminta ketua-ketua whip parti pembangkang tidak berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun tegas Anwar, Ahli Parlimen berhak mempersoal perincian peruntukan tambahan yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kelmarin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button