Berita Utama

Belanjawan besar untuk Bumiputera beri manfaat kepada kaum lain

Tiada lagi dasar untuk kuncupkan jurang ekonomi selepas DEB tamat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI,12 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Tidak perlulah mana-mana pihak mempertikaikan pertambahan peruntukan kepada Bumiputera dalam Belanjawan 2021, kerana ia juga akan memberi manfaat kepada perniagaan kaum lain.

Ini kerana, kaum bukan Bumiputera mengawal sebahagian besar rantaian bekalan perniagaan.

Oleh itu, kaum lain tidak perlu risau sekiranya sebahagian Bumiputera menjadi lebih maju dalam perniagaan dengan bantuan kerajaan, kerana ia akan memberi persaingan sihat serta mendorong pertumbuhan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kluster Ekonomi Bumiputera Majlis Perundingan Melayu (MPM), Haji Abdul Razak Kassim berkata, apabila Bumiputera mencapai jurang ekonomi yang selesa, maka kaum lain juga akan menerima habuan kerana mereka adalah kuasa pembeli terbesar dalam negara.

“Kemakmuran Bumiputera adalah kemakmuran nasional. Kemakmuran bukan sahaja bermakna status ekonomi tetapi merangkumi keharmonian, kesejahteraan dan kemajuan.

“Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditamatkan, tiada lagi dasar untuk menguncupkan jurang ekonomi sepenuhnya. Apa yang kelihatan ianya masih mengembang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Memandangkan matlamat DEB masih belum tercapai sepenuhnya, beliau berkata, Belanjawan 2021 membantu Bumiputera berpeluang memiliki aset komersial sebagai ruang berniaga bagi Komuniti Ekonomi Bumiputera.

“Kita kena terima hakikat bahawa Komuniti Ekonomi Bumiputera kini jauh lebih berkemampuan, berdaya saing dan hebat dalam suasana ekonomi negara sekarang berbanding pada awal DEB.

“… di mana kemampuan terbatas mengakibatkan kebergantungan kepada kaum lain yang jauh lebih bersedia, lantas wujudnya situasi ‘Ali Baba’ dalam projek pelaksanaan strategik kerajaan,” katanya.

Justeru, bajet untuk Bumiputera akan memanfaatkan juga perniagaan kaum lain, khususnya Cina dan ia adalah kaedah yang baik dalam sistem pengagihan kek ekonomi.

“Sebaliknya, bajet yang diperjuangkan oleh MP di kalangan kaum Cina akan terus diraih faedahnya oleh perniagaan kaum Cina kerana mereka mengawal ekosistem perniagaan.

“Semakin rapat jurang perbezaan ekonomi antara kaum, keadaan ekonomi negara akan semakin stabil manakala jika ramai rakyat Bumiputera tidak berpuas hati kerana jurang ekonomi yang besar akan menjadi ancaman serius terhadap kestabilan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button