Kolumnis

Islam gariskan panduan jaga kehormatan wanita

Kemungkaran yang berlaku berpunca hilangnya sifat malu

KEHORMATAN wanita di dalam Islam amat tinggi kedudukannya. Sebelum kedatangan Islam, wanita menjadi warga kelas kedua di setiap tamadun dunia dan dianggap sebagai objek pemuas nafsu semata-mata.

Datangnya Islam ke Tanah Arab membawa peranan yang besar dalam mengubah martabat seorang wanita bukan sahaja di Arab malah di seluruh dunia. Sehinggakan pembelaan terhadap kehormatan wanita ini menjadi sebab kepada tercetusnya peperangan yang besar dan terkenal iaitu Peperangan Bani Qainuqa’.

Berperang Demi Kehormatan Seorang Wanita

Kisah bermula dari gangguan seorang Yahudi Madinah terhadap seorang muslimah. Mereka mengganggu seorang wanita muslimah yang pergi ke pasar Bani Qainuqa’. Mereka menyuruh wanita itu membuka kain yang menutupi wajahnya tetapi wanita tersebut enggan. Mereka kemudiannya mengikat hujung pakaian bahagian belakang muslimah tersebut ke bahagian yang lainnya sehingga ketika wanita itu bangun dari duduknya, tersingkaplah auratnya. Yahudi di situ semua mentertawakan wanita tersebut. Dia pun berteriak meminta tolong. Wanita itu pun berteriak, lalu datanglah seorang lelaki muslim membelanya. Terjadilah perkelahian antara muslim dan Yahudi dan terbunuhlah Yahudi yang mengganggu wanita muslimah tadi. Melihat hal itu, orang-orang Yahudi di situ lantas menyerang lelaki tadi hingga ia pun terbunuh. Sampailah khabar tentang peristiwa ini kepada Rasulullah ﷺ. Baginda segera mengumpulkan para sahabat dan mempersiapkan pasukan untuk membela seorang wanita muslimah yang tersingkap auratnya dan membela darah seorang muslim yang tertumpah. Yahudi Qainuqa’ telah membatalkan perjanjian damai dengan menjatuhkan maruah wanita muslimah tersebut.

Nah, begitu besarnya erti kehormatan wanita muslimah dan harga darah seorang muslim di sisi Rasulullah ﷺ. Baginda ﷺ sanggup menanggung risiko kehilangan nyawa para sahabatnya demi membela kehormatan muslimah. Hakikatnya perbuatan Yahudi Qainuqa’ adalah pelanggaran yang sangat besar. Bermula dari sikap mereka yang mencela Allah SWT, mempersenda Rasulullah ﷺ, mempermainkan umat Islam, menjatuhkan kehormatan seorang wanita muslimah dan kemudian mereka membunuh pula lelaki muslim yang membela wanita tersebut. Semua ini membuatkan Rasulullah ﷺ bertindak mengepung mereka hingga Allah lemparkan rasa takut ke dalam hati-hati mereka dan akhirnya mereka menyerah dan tunduk kepada Rasulullah ﷺ.

Nilai Kehormatan Seorang Wanita

Tamadun Yunani menganggap wanita sebagai alat untuk bersuka-suka dan berfoya-foya. Tamadun Rom pula memberikan hak atas seorang ayah atau suami menjual anak perempuan atau isterinya. Manakala orang-orang Arab sanggup membunuh anak perempuan hidup-hidup dek kerana terbeban dengan pandangan serta perlakuan masyarakat terhadap wanita pada ketika itu.

Cahaya Islam terbit menerangi kegelapan itu dengan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kemuliaan dan hak wanita diangkat tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat sama ada golongan kaya mahupun miskin, bangsawan mahupun tidak. Setiap wanita dianggap berharga hanya kerana mereka diciptakan sebagai wanita.

Wanita adalah sebaik-baik perhiasan dunia. Ia adalah kedudukan istimewa yang diberikan Islam terhadap wanita. Kedudukan dan fungsinya mendapat penghargaan dan dihargai semenjak pertama kali lahir ke bumi. Kemuliaan kaum perempuan ini, Allah berikan pada semua fasa kehidupannya dan diberikan hak khusus. Bahkan dalam al-Quran sendiri terdapat surah al-Nisa yang bermaksud wanita.

Selain menjamin hak-hak perempuan, Islam pun menjaga kaum perempuan ini dari segala hal yang dapat menodai kehormatannya, menjatuhkan wibawa dan merendahkan martabatnya. Bagai mutiara yang mahal harganya, Islam menempatkan perempuan sebagai makhluk yang mulia yang harus dijaga. Asas kehormatan seorang wanita yang digariskan oleh Islam adalah aurat, sifat malu dalam pertuturan dan pergaulan serta memelihara faraj daripada zina.

Garis Panduan Adalah Satu Penghormatan Buat Wanita

Untuk menjaga kehormatan seorang wanita, Islam juga telah menggariskan panduan buat mereka. Sesetengah wanita menganggap garis panduan ini sebagai sesuatu yang memenjarakan mereka akan tetapi hakikatnya menerusi garis panduan ini maruah dan kehormatan wanita dipelihara.

Firman Allah;

Dan hendaklah kamu tetap berada di rumahmu, dan janganlah kalian berhias dan bertingkah laku seperti model berhias dan bertingkah lakunya orang-orang jahiliyah dahulu (tabarruj model jahiliyah).” [Qs. Al-Ahzab: 33]

Suruhan Allah kepada wanita agar duduk di rumah dan tidak keluar melainkan ada urusan serta keperluan adalah satu bentuk penjagaan buat wanita dan lebih baik buat mereka. Ia merupakan satu isyarat dan petunjuk bahawa rumah adalah asas dalam kehidupan seorang wanita. Kerana itulah juga Allah membebaskan wanita dari beberapa kewajipan yang diwajibkan ke atas lelaki seperti sembahyang Jumaat, kewajipan berjihad dan sesetengah ibadah seperti ibadah haji perlu kepada mahram apabila ingin menunaikannya. Namun ia bukanlah menafikan hak seorang wanita untuk keluar rumah atas keperluan dan tuntutan. Sahabiat Rasulullah ﷺ sendiri ramai yang keluar ke dalam masyarakat dan bergerak dalam masyarakat. Akan tetapi, apabila mereka keluar rumah, mereka menjaga kehormatan mereka dengan tidak berhias seperti orang jahiliyah dan menjaga batas-batas pergaulan. Itulah syarat yang perlu diikuti untuk menjaga kehormatan seorang wanita.

Nabi ﷺ memperingatkan wanita agar menjaga aurat sepertimana disebut dalam sebuah hadisnya;

Ada dua golongan ahli neraka yang tidak pernah aku lihat sebelumnya; sekelompok orang yang memegang cambuk seperti ekor sapi yang dipakai untuk mencambuk manusia, dan wanita-wanita yang berpakaian tapi hakikatnya telanjang [HR Muslim]

Perintah menutup aurat dengan memakai tudung yang menutupi dada, baju yang longgar dan tidak menarik perhatian merupakan landasan yang kuat bagi seorang wanita untuk menjaga kehormatan dirinya. Hakikat ini jelas dalam surah al-Ahzab ayat 59 di mana Allah berfirman yang bermaksud;

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Ahzab: 59)

Di dalam ayat di atas, Allah jelas mengatakan bahawa wanita-wanita yang menutup aurat adalah tanda kepada wanita yang baik-baik. Ia juga menjadi pelindung dari mereka yang cuba mengganggu. Saidatina Aisyah RA turut memuji wanita muhajirin kerana kesungguhan mereka menutup aurat seperti yang telah diwajibkan oleh Allah. Perkara ini diceritakan oleh beliau sendiri dalam riwayat Abu Daud yang menyebutkan:

“Semoga Allah merahmati kepada kaum wanita Muhajirin yang awal. Mereka, apabila Allah menurunkan ayat : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ, (al-Nur: 31) mereka lantas mengoyakkan kain Murat (sejenis tekstil yang diperbuat daripada bulu bebiri) mereka lalu mereka jadikan sebagai tudung.”

Garis panduan ini semua adalah sebagai satu langkah agar kehormatan dan kemuliaan wanita sentiasa terpelihara maruah dan kedudukannya. Kecantikan yang ada bukanlah untuk ditayang-tayang dan ditunjuk-tunjuk kepada orang ramai. Ia haruslah dipelihara dan dijaga kerana ia adalah mahkota kemuliaan bagi wanita.

Demikianlah cara bagaimana Islam memuliakan kaum wanita. Wanita yang memelihara dirinya melayakkan dirinya sebagai wanita solehah yang menjadi sebaik-baik perhiasan dunia.

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”. [HR Muslim]

Cabaran Wanita Dalam Memelihara Harga Diri

Era globalisasi dan media sosial pada hari ini menjadikan kehidupan sebagai seorang wanita yang ingin menjaga kehormatan diri terlalu mencabar. Kita dapat lihat golongan wanita yang kelihatan menjaga aurat dan harga diri di dunia nyata bertukar 180 darjah di alam maya.

Betapa ramai wanita pada zaman kini yang tanpa rasa segan silu mempertontonkan diri mereka termasuklah mendedahkan aurat mereka. Lebih parah apabila ada sesetengah daripada masyarakat kita sendiri menganggap melakukan dosa sebagai perkara biasa malah sesuatu yang boleh dipertontonkan dan dibangga-banggakan di media sosial.

Bahkan lebih aneh lagi apabila mereka marah apabila ada orang yang menghalangi mereka membuka aurat. Mereka dakwa ia sebagai menghalangi kebebasan, melanggar hak asasi dan menghambat kemajuan. Perkara ini tidak menghairankan kerana umat Islam pada saat ini sangat terpengaruh dengan budaya barat yang berasaskan kebebasan.

Wanita berlumba-lumba tampil cantik di depan khalayak umum demi mendapatkan populariti atau sekadar mendapatkan pujian. Mereka mungkin menganggap dunia maya tidak sebahaya dunia nyata. Hakikatnya dunia maya mungkin lebih merbahaya kerana kebebasan pengguna media sosial dalam mengakses maklumat-maklumat peribadi tidak terbatas.

Para muslimah masa kini kebanyakannya sibuk mempercantikkan fizikalnya hingga lupa mempercantikkan hati, ibadah, dan akhlaknya.

Memelihara Harga Diri Adalah Tuntutan dan Ibadah

Memelihara diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang diharamkan adalah merupakan antara tuntutan agama. Mengikut suruhan Nabi adalah ibadah dan akan dikurniakan pahala kerananya. Sabda Nabi ﷺ:

Maksudnya : “Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu” [HR Muslim]

Malah berazam untuk meninggalkan perkara mungkar juga adalah ibadah dan mendapat mendapat pahala. Di dalam satu hadis qudsi, ada menyebutkan bahawa Allah SWT telah berfirman :

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barang siapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan” [HR al-Bukhari dan Muslim]

Maka sesiapa yang telah berazam dengan tekad mahu melakukan maksiat tetapi tidak melakukannya kerana takutkan Allah ditulis baginya pahala. Begitulah juga, jika seseorang yang hatinya cenderung melakukan dosa dan maksiat, akan tetapi dia berusaha dan mencari jalan agar tidak melakukannya, baginya juga pahala sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis di atas.

Untuk itu berazamlah untuk sentiasa menjaga dan memelihara diri. Jagalah mata, telinga dan fikiran dari melihat, mendengar dan memikir kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada perkara yang haram dan merosakkan. Usahlah bermudah-mudah dengan dosa-dosa kecil kerana kadang-kadang dosa kecil inilah yang menjadi permulaan kepada seorang anak Adam terjerumus ke dalam dosa-dosa besar. Justeru, ianya mesti dijauhi dan dihindari semampu mungkin.

Wanita yang mempunyai harga diri bermaksud wanita bermaruah yang sentiasa memelihara dirinya dari melakukan perkara yang ditegah Allah. Itulah wanita yang tidak menurut hawa nafsu dan mempunyai pendirian yang jelas tentang matlamat hidupnya.

Memelihara harga diri adalah bagaimana seorang wanita muslimah memelihara dan menjaga kesucian dirinya dengan menjadikan malu sebagai pakaian mereka. Malu itu adalah satu sifat yang di dalam diri manusia dan sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan.

Sifat malu daripada melakukan sesuatu yang menyanggahi adab, tatasusila dan kerukunan masyarakat merupakan satu sifat yang amat terpuji. Sifat malu inilah yang akan menjadi benteng masyarakat daripada terjebak ke dalam krisis moral, keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial.

Kemungkaran yang berlaku sebenarnya berpunca dari hilangnya sifat malu dalam diri manusia. Kehilangan sifat ini akan menyebabkan seseorang berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di khalayak, apatah lagi bila bersendirian.

Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button