Pendapat

Majlis Agama Islam bersama PIBK banteras fahaman sesat liberalisme

Bagaimana nak berdakwah bila pemimpin politik sendiri berfahaman liberalisme?

TERKEJUT dengan laporan akhbar Utusan Malaysia semalam atas tajuk “Majlis Agama Islam ‘Berpeluk Tubuh’?”, saya selaku Setiausaha Agong Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia atau ringkasnya MUAFAKAT, terpanggil untuk berkongsi maklumat apabila kenyataan akhbar berkenaan didapati agak tersasar sedikit daripada maklumat penuh dan setepatnya, atau kebarangkalian ‘sumber’ Utusan tidak terlibat secara langsung dalam program-program yang telah dijalankan dan dianjurkan oleh Majlis Agama Islam terutamanya oleh MAIS dan MAIWP dalam menangani pelbagai fahaman sesat khususnya di Lembah Klang apabila Utusan Malaysia mengkategorikan daerah tersebut pada kedudukan antara yang paling aktif dengan kegiatan ajaran sesat termasuk fahaman lieralisme.

2. Terdapat beberapa Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) terlibat sama dalam membantu MAIS dan MAIWP baik daripada segi pencerahan dan pemantauan dengan memberi laporan serta maklumat dari semasa ke semasa jika ada mana-mana individu atau kumpulan-kumpulan tertentu yang mencurigakan yang didapati menjalankan aktiviti-aktiviti pelik seperti memberi ceramah dan syarahan yang bertentangan dengan naratif akidah Ahlu al-Sunnah wal-Jamaah (ASWJ) yang dianggap bercanggah dengan Fatwa Rasmi Negeri, Peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan termasuk Perlembagaan Persekutuan.

3. Selain daripada membantu pihak PIBK dari segi dana, pihak MAIS dan MAIWP juga terlibat membantu menyediakan tempat seperti Dewan Masjid untuk kegunaan bersama dalam memberi pencerahan terkini kepada masyarakat setempat mengenai pelbagai ajaran sesat yang sedang menular bagi mengelakkan orang ramai daripada terjebak ke dalam kumpulan-kumpulan ajaran berkenaan terutamanya yang sudah diwartakan sebagai ajaran sesat.

4. ‘Kluster Pemantapan Aqidah’ di bawah seliaan MAIS adalah di antara usaha yang digerakkan untuk mendepani penularan fahaman sesat dan menyeleweng ini. Kita tidak menafikan banyak lagi kerja yang perlu dibuat tetapi semua usaha ini memerlukan peruntukan dana yang mencukupi. Namun begitu, kerja-kerja ini sentiasa berjalan walaupun dengan keupayaan kewangan yang amat terhad, kebanyakannya dengan kos tanggungan PIBK dan sukarelawan sendiri.

5. Mengenai penularan fahaman sesat liberalisme ini, fahaman ini berselindung di bawah slogan ‘hak dan tuntutan peribadi’, ‘melanggar hak kebebasan orang lain’, ‘hak kebebasan diri yang dilindungi Perlembagaan’ atau ‘hak penganut agama lain’, ia dilihat semakin menular di segenap ceruk bandar malah di kampung-kampung. Naratif fahaman liberal ini pula dianggap sesuai dan selari dengan hawa nafsu terutama di kalangan generasi muda yang tidak mahu ‘terkongkong dengan kekangan agama’.

6. Lebih daripada itu, terdapat sebilangan ahli politik sendiri yang berfahaman liberalisme malah menyokong dengan melebar-luaskan naratif liberalisme berkenaan! Sikap keterbukaan itu tidak salah, yang salah itu ialah faham liberalisme itu sendiri yang melanggar batas-batas asas agama Islam. Sikap ‘keterbukaan’ berbeza jauh daripada mengimani naratif liberalisme yang bertentangan dengan Islam. Sebagai contoh, kebebasan berfikir dan mengamalkan agama sehingga membolehkan murtad, semua bebas memberi pendapat sendiri dan sebagainya – fikrah seperti itu amat berbahaya dan bertentangan dengan akidah Ahlu al-Sunnah wal-Jamaah.

7. Begitu juga sikap merestui aktiviti terkutuk mengikut garis sempadan syariat Islam seperti aktiviti LGBT atas dasar ianya ‘hak dan kebebasan peribadi’, menolak autoriti jumhur ulama, mempertikaikan hukum hakam Fiqh yang muktamad dan lain-lain lagi yang amat jelas bertentangan dengan kedudukan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, iaitu dengan maksud Islam adalah agama bagi negara ini.

8. Inilah di antara bentuk-bentuk pemikiran sesat yang didiamkan oleh kerajaan terdahulu sehingga menyebabkan pihak Majlis Agama Islam terbelenggu dengan kerja-kerja dakwah. Bagaimana hendak berdakwah apabila pemimpin politik itu sendiri berfahaman liberalisme?

9. Justeru, adalah tidak adil jika ‘sumber’ Utusan Malaysia mengatakan Majlis Agama Islam hanya berpeluk tubuh, walhal pelbagai aktiviti telah dilakukan sekalipun dengan peruntukan yang sangat terhad. ‘Sumber’ juga harus faham Lembah Klang merupakan lokasi paling strategik bagi ajaran sesat menapak dan menyebarluaskan ajaran mereka dengan logistik dan kemudahan sekeliling yang jauh lebih baik daripada negeri-negeri lain. Dengan segala ibu pejabat dan segala markas berkumpul di Selangor maka negeri ini menjadi pilihan terbaik. Bukan kerana berpeluk tubuh tetapi kerana bilangan yang sedikit perlu memantau jumlah yang terlalu ramai dan bertebaran di segenap ceruk dalam negeri!

10. Sekali lagi, MUAFAKAT mengesyorkan ‘sumber’ dijemput turut serta bersama MAIS dan PIBK untuk mendapatkan gambaran sebenar apa yang sebenarnya berlaku dan turut bersama menggalas tanggungjawab menangani fahaman liberalisme yang sesat dan menyeleweng ini daripada sudut penyebaran fahaman Islam yang tulen lagi benar.

Slogan #kitajagakita# barangkali lebih tepat diarusperdanakan sebagai #kitajagaIslam# dan #IslamselamatuntukwargaMalaysia#

Mahmud Hishamuddin
Setiausaha Agong MUAFAKAT

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button