Berita UtamaDunia

Jerman sumbang RM264 juta biaya projek di Palestin

Sokongan Berlin tumpu pada ekonomi terjejas akibat COVID-19

GAZA, 12 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Jerman akan menyumbangkan 55.56 juta euro (RM264 juta) untuk membiayai projek-projek di Tebing Barat, Semenanjung Gaza serta Baitulmaqdis pada tahun hadapan.

Pengumuman itu dibuat semalam oleh Estephan Salameh, Penasihat Khas Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mohammed Shtayyeh.

Beliau berkata, sokongan Jerman akan digunakan dalam pelbagai sektor, termasuk air dan sanitasi, infrastruktur untuk badan kerajaan tempatan serta sokongan untuk sektor swasta dan perusahaan kecil.

Menurut agensi berita Wafa, Salameh berkata bahawa semua projek yang akan dibiayai oleh sumbangan itu termasuk dalam prioriti PA.

Lebih-lebih lagi, bantuan itu juga akan membantu keluarga yang menderita susulan keadaan ekonomi sukar dengan barang-barang kebersihan diperlukan, terutama di kawasan mencatat peningkatan jangkitan COVID-19.

Jumlah kes coronavirus di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur dilaporkan berjumlah 93,400.

Wakil Jerman ke Palestin, Christian Klaghas berkata, sokongan negaranya kepada kerajaan Palestin untuk tahun 2021 menumpukan perhatian pada ekonomi yang terjejas susulan wabak coronavirus dengan memberikan peluang pekerjaan sementara dan menjaga kelestarian perkhidmatan.

Beliau menjelaskan sumbangan itu adalah mesej jelas mengenai komitmen kuat Berlin terhadap rakyat Palestin pada tempoh genting ini.

Tambahnya, sebahagian daripada bantuan baharu itu akan membiayai pembentukan jaringan pengedaran untuk program kilang penyahgaraman di Semenanjung Gaza, yang berkhidmat sekitar satu juta warga di wilayah tersebut.

Di kawasan yang penuh konflik dan kini berperang dengan kesihatan serta kesan sosioekonomi COVID-19, dana tersebut sangat penting untuk tahap kestabilan wilayah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button