Berita Utama

Kadar caruman berkanun KWSP turun ke 9 peratus tahun 2021

Terpakai untuk pekerja umur di bawah 60 tahun wajib mencarum

KUALA LUMPUR, 12 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memaklumkan bahawa kadar caruman berkanun syer pekerja akan dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus bagi tahun 2021.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata kadar caruman berkanun baharu itu akan terpakai untuk pekerja berumur di bawah 60 tahun yang wajib mencarum.

Bagi pekerja yang berumur 60 tahun dan ke atas pula, caruman berkanun syer pekerja masih kekal pada kadar yang sama, katanya.

Kadar baharu ini akan berkuatkuasa bagi tempoh satu tahun dan merangkumi upah pekerja bulan Januari 2021 (caruman Februari 2021) sehingga bulan Disember 2021 (caruman Januari 2022).

“Ahli masih boleh memilih untuk mengekalkan caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Borang KWSP 17A (Khas 2021), yang boleh dimuat turun daripada laman web KWSP (www.kwsp.gov.my) mulai 1 Disember, 2020.

‘’Borang yang lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk didaftarkan secara dalam talian melalui kemudahan i-Akaun (Majikan) mulai 14 Disember, 2020. Borang yang diterima daripada pekerja hendaklah disimpan sebagai rekod majikan,” kata KWSP.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh merujuk laman sesawang KWSP atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button