Berita Utama

Tiada laporan salah laku, rasuah berkait bekalan beras

SPRM jamin segera siasat jika wujud kepincangan

BANGI, 14 Rabiulawal 1445H, Sabtu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang laporan berhubung amalan salah laku dan unsur rasuah dalam isu pembekalan beras negara.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberi jaminan akan segera menyiasat sekiranya mengesan kepincangan dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, unsur rasuah dalam isu pembekalan beras negara akan diteliti sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Saya memberi jaminan sekiranya terdapat pihak yang terbabit dalam unsur rasuah dalam pembekalan beras, kita akan mengambil tindakan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Azam dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas mengenai ‘hanky-panky’ dalam pembekalan beras negara,
termasuk kemungkinan salah laku oleh penguat kuasa yang terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) memberi jaminan bekalan beras putih mencukupi bagi mengisi keperluan rakyat negara ini, di tengah-tengah kegusaran orang ramai untuk mendapatkan barang keperluan itu.

BERNAS juga memaklumkan telah menyalurkan sebanyak 630,000 tan metrik beras putih pada Januari hingga Ogos lalu.

Namun, orang ramai masih bergelut untuk mendapatkan beras di pasaran dan terdapat dakwaan kemungkinan ia disorok pihak tertentu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button