Berita Utama

Syor akta khusus kekang penipuan pelaburan saham

Saran kerjasama dari agensi lain berkaitan mudahkan tindakan

BANGI, 18 Syaaban 1444H, Sabtu – Akta baharu bagi menghapuskan elemen kegiatan jenayah penipuan, termasuk pelaburan saham perlu diperkenalkan bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Tan Sri Musa Hassan berkata, langkah memperkenalkan akta baharu berkaitan pelaburan diyakini dapat mempercepatkan tindakan yang selama ini berdepan kelompongan.

“Negara sememangnya mempunyai undang-undang berkaitan penipuan atau scammer, namun masih ada kelompongan untuk sampai ke orang ramai atau mangsa.

“Polis akan menyiasat kes penipuan pelaburan yang dilaporkan, namun pada masa sama agensi lain juga disarankan mengambil tindakan pantas menyekat syarikat pelaburan atau akaun berkenaan.

“Jadi, apabila sesuatu akta berkaitan tindakan penipuan pelaburan dan scammer ini diwujudkan ia diyakini memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

Bekas Ketua Polis Negara itu menjelaskan, kes-kes melibatkan penipuan pelaburan tidak harus dipikul Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata, namun memerlukan kerjasama semua agensi penguatkuasaan berkaitan.

Ini termasuklah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Bank Negara serta agensi berkaitan dengan sesuatu kes, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button