Berita Utama

Penceroboh tanah haram di Pahang kebal undang-undang?

ISMA Temerloh tuntut tindakan pihak berkuasa tidak kira kaum, pangkat

BANGI, 12 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Penerokaan  tanah dan hutan secara haram di  Pahang, seolah-olah menggambarkan penceroboh kebal daripada tindakan undang-undang.

Sebagai aset bernilai di Pahang, tanah serta hutan di negeri terbesar Semenanjung itu sepatutnya dijaga dan dikawal selia sebaik mungkin demi memelihara kelestarian alam, termasuk hasil bumi.

Mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab, Ikatan Muslimin Malaysia  (ISMA) Temerloh – gerakan yang memperjuang isu-isu rakyat  – mendesak pihak berkuasa membongkar lagi sekiranya terdapat siri-siri pencerobohan lain yang masih ‘tersembunyi’. 

Yang Dipertuanya, Ustaz Ahmad Zaharuddin Mohd Alias berkata,  kegiatan penerokaan haram jelas sekali melanggar undang-undang, apatah lagi mereka menjarah alam semula jadi sehingga merugikan hasil negeri.

“Tanah dan hutan adalah aset yang tidak ternilai terutamanya di negeri Pahang yang merupakan negeri terbesar di Semenanjung.

“Pencerobohan hutan secara berleluasa ini telah mengakibatkan kemusnahan hutan, merosakkan kawasan tadahan hujan dan hidupan liarnya semakin lama semakin terancam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, ISMA Temerloh menuntut pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan berkaitan bertindak terhadap pihak penceroboh tanpa mengira kedudukan, pangkat, politik serta bangsa.

“Ini kerana kedaulatan setiap inci tanah di negeri Pahang ini perlu terus dipertahankan daripada sikap tidak bertanggungjawab mana-mana pihak yang menceroboh serta mengaut keuntungan secara haram,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 4,400 hektar tanah kerajaan di Raub diteroka secara haram – bagi tujuan penanaman durian Musang King – selama lebih 40 tahun tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

Tidak lama kemudian, kegiatan haram sama turut terbongkar di kawasan Hutan Simpan Lesong, Rompin seluas 18 hektar.

Baru-baru ini, kes perlombongan emas secara haram pula dilaporkan di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis.

Minggu lalu, PEMBELA – NGO yang lantang menyuarakan isu pencerobohan tanah – menyerahkan memorandum bantahan rakyat di pejabat Menteri Besar, Wisma Sri Pahang.

Sebelum ini, PEMBELA juga telah menghantar memorandum yang sama ke pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang dan Putrajaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button