Berita UtamaIstimewa

UEC: Desakan Dong Zong langgar ‘lampu merah’

Bukan hanya canggah Perlembagaan, malah babit isu perpaduan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Jamadilawal 1444H, Jumaat – Kerajaan baharu tidak wajar berkompromi dengan desakan Dong Zong untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memberi peruntukan kekal kepada sekolah aliran persendirian Cina.

Ini kerana, tuntutan itu bukan sahaja bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahkan membabitkan isu perpaduan.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani menegaskan bahawa perpaduan memerlukan rakyat berjiwa Malaysia dan ia tidak mungkin dapat disempurnakan melalui UEC.

Mengambil analogi lampu isyarat, beliau mempersoalkan gesaan pertubuhan pendidikan Cina itu yang seolah-olah melanggar ‘lampu merah’.

“Mana-mana kenderaan tidak boleh melanggar lampu merah kecuali membabitkan isu kecemasan seperti kenderaan polis, bomba dan ambulans.

“Jadi kita nak tanya adakah Dong Zong ini serta mereka yang memilih UEC merupakan orang sakit atau melibatkan hal kecemasan?

“Sedangkan kerajaan telah menyediakan sekolah dengan sistem dan dasar pelajaran kebangsaan yang sesuai degan negara ini untuk diikuti sama ada percuma atau bayaran yang sangat murah berbanding UEC,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pihak yang mengikuti UEC dari awal untuk bersedia ia tidak akan diiktiraf kerana melanggar undang-undang dalam banyak perkara.

Misalnya, sukatan pelajaran itu dari Taiwan tidak menghormati dasar pendidikan kebangsaan selain tidak mengendahkan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

“Kemudian kesan yang kita dapati juga, ramai lepasan UEC yang tidak fasih Bahasa Melayu sedangkan mereka rakyat Malaysia dan ini sangat memalukan,” katanya.

Pada masa sama, Kamal turut menyifatkan adalah tidak wajar Dong Zong menggesa kerajaan memberi peruntukan kekal kepada sekolah aliran persendirian Cina.

“Sepatutnya tidak diberikan langsung sebab melanggar peraturan. Jadi kenapa perlu diberi peruntukan?” soalnya.

Pautan berkaitan;

Jangan layan tuntutan Dong Zong iktiraf UEC: ISMA

Jangan layan tuntutan Dong Zong iktiraf UEC: ISMA


https://ismaweb.net/2022/11/29/iktiraf-uec-taktik-senyap-lenyapkan-bahasa-kebangsaan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button