Letak syarat jadi muslim soleh, 2 beradik asah bakat di Liga Sepanyol
Bapa Ahli ISMA sokong minat anak mahu berjaya di dunia, akhirat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Mencungkil bakat anak-anak bukan sesuatu perkara yang mudah. Sokongan dan dorongan ibu bapa penting bagi memastikan anak masing-masing berjaya mencapai matlamat dalam sukan diceburi.
Ismaweb.net berpeluang menemuramah Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Shahruddin Mat Dali, 55, yang juga bapa kepada dua orang anak mempunyai bakat besar dalam arena bola sepak.
Dalam temu bual itu, Shahruddin tidak lokek berkongsi pengalaman berharga beliau dalam menyokong minat anak-anaknya bahkan sokongan itu membuahkan hasil apabila mereka dipilih untuk menyertai akademik bola sepak antarabangsa.
Sokong minat anak
Minat serta kecenderungan anak beliau, Amar Makruf, 18, dan Anas Nadawi, 16, dalam bola sepak mula disedari sejak adik-beradik itu berusia tujuh dan lima tahun lagi.
Sebagai bapa yang menghargai minat dan kemahiran anak selagi tidak menyalahi syariat, Shahruddin bertindak mengasah bakat mereka dengan mengajar ilmu bola sepak di rumah serta menghantar Amar dan Anas ke Akademi Bolasepak AMPAC – akademik bola sepak yang membina modal insan melalui falsafah ‘Laksamana Melayu’ dalam permainan.
Sekali pun sibuk dengan perniagaannya dan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin, itu tidak menghalang beliau untuk mengikuti perkembangan anak-anaknya serta sedaya upaya memenuhi keperluan mereka dalam bola sepak.
“Sejak dari awal saya sudah tahu minat dan kecenderungan mereka dalam bola sepak, malah sejak beberapa tahun lepas mereka telah menunjukkan kerajinan dan disiplin berlatih empat jam setiap hari walaupun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Maka saya memberi kebenaran kepada mereka menjadikan ia (bola sepak) satu karier dengan syarat mereka menjadi pemain bola sepak Melayu muslim yang soleh berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.
TNGS cungkil bakat baharu
Atas keizinan yang diberikan, Amar mengorak langkah dengan menghubungi The Next Generation Sports (TNGS) serta mencadangkan akademi bola sepak itu menonton video Amar Anas di saluran Youtube dan Instagram.
TNGS adalah sebuah akademik bola sepak yang terletak di Valencia, Sepanyol. Akademik itu membimbing pemain bola sepak muda dari seluruh dunia. Pemain dilatih bermula dari usia 14 tahun.
Setiap musim TNGS akan mengambil hanya lebih kurang 30 pemain sahaja dari seluruh dunia untuk mengikuti program pembangunan mereka. Sesi latihan mereka diadakan setiap hari Isnin sehingga Jumaat.
Pada sesi pagi, pelatih akan menjalani latihan bersama pemain-pemain di TNGS sebelum menghadiri kelas akademik di Universiti Politeknica Valencia (UPV). Manakala pada sebelah petang, mereka akan dibawa ke kelab-kelab Liga Sepanyol untuk berlatih bersama pemain-pemain profesional La Liga (Liga Sepanyol divisyen satu hingga tiga).
Selepas menonton Youtube Amar Anas, Shahruddin memberitahu bahawa pihak TNGS teruja mengetahui kebolehan kedua beradik itu dan menghubungi beliau untuk mencungkil lagi bakat anak-anaknya.
“Setelah mengkaji apa yang TNGS tawarkan termasuk menyediakan program akademik serta meneliti rekod pencapaian TNGS yang berjaya memperkenalkan ramai pemain luar dari Sepanyol untuk mendapat peluang di Liga Sepanyol, maka saya bersetuju.
“Setakat ini belum ada kontrak apa-apa tetapi Amar dan Anas terlebih dahulu akan diberi peluang mengikuti sesi latihan untuk penilaian dan pemilihan (scouting) oleh kelab-kelab La Liga selama tiga bulan,” katanya.
Anak Melayu boleh berjaya di peringkat antarabangsa
Sentiasa menitipkan sokongan dan doa dalam setiap langkah yang diambil kedua-dua anak lelakinya, Shahruddin tidak lupa untuk mengingatkan mereka dalam membuat kebaikan atas nama agama.
“Alhamdulillah sehingga hari ini boleh dikatakan Amar dan Anas telah faham misi mereka bahawa bola sepak hanya karier jika hanya untuk dunia sahaja tetapi akan dikira berjaya bila menjadikan karier bola sepak itu, untuk melakukan amal kebaikan demi Islam.
“Bahkan berjaya membuktikan bahawa orang Melayu juga setanding dan boleh berjaya di peringkat antarabangsa, maka itu adalah kegembiraan untuk ibu bapa mereka,” katanya.
Info
Amar sebelum ini pernah memenangi anugerah pemain terbaik dan penjaring gol terbanyak di kejohanan Liga 1Malaysia Connecting Communities (1MCC) 2018.
Sementara adiknya, Anas antara lima yang terpilih mewakili Malaysia di ASEAN Dream Project di Osaka, Jepun pada 2019. Anas berpeluang berguru bersama kelab Liga Jepun, Cerezo Osaka – kelab terkemuka di negara Matahari Terbit itu – serta bermain dengan pemain bola sepak muda dari Thailand, Myanmar dan Jepun.
Adik-beradik ini juga mempunyai saluran Youtube dengan lebih 2,000 pengikut atau subscriber. Dalam platform berkenaan, dua beradik itu berkongsi bakat dan kemahiran mereka dalam bola sepak.
Mereka yang berminat untuk mengetahui perkembangan Amar dan Anas boleh mengikuti saluran Youtube Amar Anas dan Instagram amaranas_.