Makin cacamarba, undi belah bahagi pun tak sepakat
Cuba cari helah tenangkan penyokong yang jelas marah

BANGI, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Pertikaian pemimpin blok pembangkang dalam isu undi belah bahagi Belanjawan 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat Khamis lalu, bukti jelas mereka tidak bersepakat.
Sebelum ini, Dewan Rakyat menyaksikan hanya 13 Ahli Parlimen daripada pembangkang yang menyokong cadangan undi belah bahagi daripada jumlah sepatutnya diperlukan, 15 Ahli Parlimen.
Senarai 13 Ahli Parlimen tidak menyokong Belanjawan 2021 dan memohon untuk undi belah bahagi ialah, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang – Langkawi); Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang – Jerlun); Datuk Mahfuz Omar (PAN- Pokok Sena) dan Khalid Samad (PAN – Shah Alam).
Selain itu, Hanipa Maidin (PAN – Sepang); Mohamad Sabu (PAN – Kota Raja); Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (PAN – Parit Buntar); Datuk Hatta Ramli (PAN – Lumut); Datuk Anuar Tahir (PAN – Temerloh) dan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad (PAN – Kuala Selangor).
Turut terbabit Datuk Hasanuddin Yunus (PAN – Hulu Langat); Hasan Bahrom (PAN – Tampin) dan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PAN – Pulai).
Difahamkan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku membuat keputusan dan meminta Ketua Whip parti supaya tidak menyokong usul undi belah bahagi di Dewan Rakyat.
Dakwanya, tindakan itu diambil bagi memberi ruang Ahli Parlimen meneliti secara terperinci dan mendalami keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan.
Pada masa sama, Ketua Parlimen DAP, Anthony Loke juga mengaku bertanggungjawab memberikan arahan kepada Ahli Parlimen parti itu selepas mendapat mesej daripada Anwar.
Beliau mendakwa, meskipun Belanjawan 2021 sudah diluluskan di peringkat dasar, pembangkang akan membantah dan menolak peruntukan yang tidak dipersetuju di peringkat jawatankuasa kementerian masing-masing.
Namun, tindakan itu tetap mencetuskan tidak puas hati Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang menuntut permohonan maaf dan ‘mengugut’ akan menyarankan parti itu memutuskan hubungan PKR serta membubarkan PH.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berpandangan kegagalan undi belah bahagi adalah tindakan jelas bahawa pembangkang tidak yakin akan mendapat sokongan yang cukup untuk menolak.
“Kesediaan kerajaan untuk meminda belanjawan dalam isu Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjaya menarik sokongan UMNO dan memenuhi kesusahan rakyat.
“Pembangkang dengan itu telah tertipu dengan katanya ada sebahgian MP dari UMNO akan sokong mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Haji Aminuddin yakin ketika ini pembangkang cuba mencari helah untuk menenangkan penyokong yang jelas marah dengan tindakan mereka yang tidak meneruskan undi belah bahagi.
“Rakyat rasa tertipu dengan retorik MP Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini lantang mengkritik belanjawan.
“Walaupun ada perbahasan selepas ini tentang bajet, itu lebih kepada teknikal sedangkan dasarnya belanjawan telah lulus,” katanya.