Berita Utama

Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional dialu-alukan

Harap penyertaan Bersatu akan bawa penyatuan, politik matang

JOHOR BAHRU, 26 Zulhijjah 1441H, Ahad – Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional yang akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat, amat dialu-alukan sekali gus disifatkan dapat mengembalikan roh perjuangan dalam memastikan pembangunan negara lebih terjamin.

Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, seperti dimaklumkan Perdana Menteri merangkap Pemangku Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis perjumpaan bersama barisan pimpinan negeri di sebuah hotel di sini malam tadi, penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional adalah satu detik bersejarah.

“Jadi, dengan kehadiran Bersatu (dalam Muafakat Nasional) tentu sekali perkara yang paling penting untuk kita lihat ialah bagaimana keserasian akan kami laksanakan sebaik mungkin.

“Saya sebagai Ketua Penerangan UMNO Johor sangat mengalu-alukan. Ini berita sangat baik dan menggembirakan…dan ini permulaan baik untuk melaksanakan tanggungjawab lebih besar, membangunkan negeri dan negara kita,” katanya yang ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan berkenaan.

“Saya yakin dengan keputusan yang dibuat, diumumkan malam ini secara terbuka di negeri Johor, kalau kita lihat bahawa keikhlasan tersebut diterjemahkan dalam bentuk penyatuan ummah dalam Muafakat Nasional dengan kehadiran MIC dan MCA dan mereka juga melihat perkara ini suatu yang positif, kami yakin dapat kembalikan roh perjuangan memastikan Malaysia tempat terbaik untuk kita duduki,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata, tiada halangan untuk Bersatu menyertai Muafakat Nasional dan berharap penyertaan itu akan membawa ke arah penyatuan dan politik matang.

“Kami (PAS) di peringkat Persekutuan dan negeri memang jadi penenang, pendamai dan kami tanpa apa-apa kepentingan menemui semua pihak sebelum ini lagi supaya mengukuhkan perpaduan.

Beliau berkata, 52 pemimpin Badan Perhubungan PAS Johor menghadiri perjumpaan tertutup sempena lawatan Perdana Menteri selama dua hari ke negeri ini, malam tadi.

Pada masa sama, Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang berkata, pihaknya akur dengan kerjasama menerusi Muafakat Nasional dan menyifatkan ia sesuatu yang baik setakat ini.

Beliau berkata, pada majlis perjumpaan itu, Muhyiddin mengingatkan semua pihak supaya menjaga hubungan masing-masing dan perlu bersikap tolak ansur supaya gabungan Perikatan Nasional terus utuh.

“Semuanya gembira dan teruja (para hadirin). PAS pun ada bersama julung kali dalam sejarah. Tan Sri (Muhyiddin Yassin) cakap betullah, tidak pernah kami (Bersatu) terfikir PAS bersama semeja dengan kami, hari ini kami semeja dengan PAS,” kata Mazlan.

Terdahulu, dalam perutusan khas sempena persidangan Angkatan Muda Bersatu (Armada), Srikandi dan Bahagian Bersatu, yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi Muhyiddin semalam, beliau berkata penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

Muhyiddin berkata, dengan menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional, maka Bersatu akan berada dalam satu gabungan besar. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button