Berita UtamaIstimewa

Apa jadi? Selepas kes ceroboh tanah, lombong emas, kini curi balak pula

Jangan pandang remeh, kerajaan negeri Pahang bertindaklah segera!

BANGI, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Belum selesai isu pencerobohan tanah dan hutan bagi tujuan penanaman durian Musang King serta lombong emas, timbul pula kes kecurian balak di negeri Pahang.

Kegiatan ini terbongkar selepas Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) merekodkan 82 kes curi balak dan kayu bergergaji sepanjang lapan bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, kegiatan mencuri balak dan kayu bergergaji meningkat dengan pelbagai cara dan helah digunakan sindiket terbabit untuk melepaskan diri. 

Terbaharu sindiket curi balak dikesan mencampurkan balak berlesen dengan balak curi di pusat penyimpanan balak atau matau.

Taktik yang sama dikesan di Hutan Simpan Berkelah, Jerantut membabitkan sebanyak 300 tual balak pelbagai spesies bernilai RM300,000, katanya. 

Dilaporkan, pada bulan Jun, kegiatan mencuri balak direkodkan paling tinggi iaitu 19 kes, diikuti Julai dan September masing-masing 15 kes, Oktober (10), Ogos (tujuh), April (enam) serta Mei dan Mac masing-masing lima.

Atas sebab itu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) – antara pertubuhan yang lantang dalam isu ini – mempersoalkan apakah siri penerokaan haram hasil negeri masih perlu dilihat remeh.

“Dalam tahun 2020 sahaja, kita ada isu Musang King, perlombongan emas dan terkini balak pula.

“Masih lagi ingat isu ini isu remeh? Masih lagi mahu meremehkan teguran kami?,” soal PEMBELA dalam kenyataan, di Facebooknya.

Hantaran itu turut mendapat respon rata-rata pengguna Facebook lain yang meluahkan rasa bimbang terhadap pengurusan hutan di negeri berkenaan.

“Ternyata perbuatan tidak bertanggungjawab, khianat dan jahat terbukti kepada tanah simpanan dan hutan alam sekitar menjadi rata dan menimbulkan pelbagai krisis.

“Kerajaan dengar dan bertindaklah sebelum rakyat mengambil tindakan di luar undang-undang,” tulis Ebrahero Ebrahero.

Muhammad Mujahid Kabir pula kesal apabila isu sama tidak selesai biarpun negara bertukar pemerintah daripada Barisan Nasional (BN), kemudian Pakatan Harapan (PH) dan kini Perikatan Nasional (PN).

“Kenapa dengan kerajaan negeri Pahang. Lepas satu-satu lagi kes ceroboh tanah kerajaan, lombong emas dan akhir curi balak. Dah licin baru nak sedar! Masa ini sudah terlambat,” kata Ahmad Hassan.

“PEMBELA, terus bertindak! Teruskan usaha, rakyat melihat,” kata Azizah Azuddin.

Minggu lalu, PEMBELA – NGO yang lantang menyuarakan isu pencerobohan tanah – menyerahkan memorandum bantahan rakyat di pejabat Menteri Besar, Wisma Sri Pahang.

Sebelum ini, PEMBELA juga telah menghantar memorandum yang sama ke pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang dan Putrajaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button