Dunia

Sirap selesema buatan India di Iraq tercemar: WHO

Had pencemaran dietilena, etilena glikol lebih tinggi dari ditetapkan

GENEVA, 21 Muharram 1445H, Selasa – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan produk sirap selesema – dikeluarkan oleh sebuah syarikat di India – dalam siri amaran ubat-ubatan yang tidak berkualiti dari negara itu.

WHO berkata, kumpulan sirap berjenama Cold Out yang ditemukan di Iraq itu, dihasilkan oleh Makmal Fourrts (India) untuk Dabilife Pharma dan mempunyai had pencemaran dietilena dan etilena glikol lebih tinggi daripada ditetapkan.

Ubat itu mempunyai 0.25 peratus dietilena glikol dan 2.1 peratus etilina glikol, apabila had keselamatan yang boleh diterima untuk kedua-duanya adalah sehingga 0.10 peratus, kata WHO dalam amaran produk perubatan.

Agensi itu berkata, pengilang dan pemasar tidak memberikan jaminan kepada WHO mengenai keselamatan serta kualiti produk.

Amaran mengenai produk Cold Out adalah amaran terbaharu yang dikeluarkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini mengenai sirap batuk tercemar yang dijual di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya lima daripada ubat sirap yang diteliti membabitkan pengeluar India.

Sirap batuk buatan India dikaitkan dengan kematian sekurang-kurangnya 89 kanak-kanak di Gambia dan Uzbekistan tahun lalu.

Pihak berkuasa India juga mendapati pelanggaran di Riemann Labs, yang ubat batuknya dikaitkan dengan kematian kanak-kanak di Cameroon.

Pengawal selia India telah membatalkan lesen pembuatan Marion Biotech, yang telah mengeksport sirap batuk ke Uzbekistan dan menahan beberapa kakitangan mereka.

Sementara, syarikat yang terlibat di Gambia, Maiden Pharmaceuticals menafikan bahawa ubatnya bertanggungjawab atas kematian di negara itu, dan ujian oleh makmal India mendapati tiada toksin di dalamnya.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button