Dunia

Laporan serangan pengganas Christchurch takkan didedah selama 30 tahun

Elakkan insiden Mac 2019 jadi inspirasi, bantu serangan keganasan lain

NELSON, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Bukti yang dikemukakan menteri dan ketua eksekutif sektor awam dalam siasatan serangan keganasan Christchurch tidak akan dikeluarkan kepada umum untuk tempoh selama 30 tahun, kata pihak berkuasa New Zealand. 

Langkah itu bagi mengelakkan insiden keganasan – yang didalangi pengganas berkulit putih, Brenton Tarrant – akan menjadi insipirasi sekali gus membantu serangan lain.

Tarrant membunuh 51 jemaah dan mencederakan 40 yang lain dalam serangan di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood pada 15 Mac tahun lalu. 

Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Ogos lalu, tanpa sebarang kemungkinan pembebasan bersyarat. 

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri New Zealand, Jan Tinetti menerima laporan siasatan Khamis lalu dan akan dikeluarkan secara terbuka pada 8 Disember, setelah dikongsikan dengan keluarga mangsa serta pemimpin parti politik.

“Bukti yang diberikan oleh menteri dan ketua sektor awam kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai serangan pengganas Christchurch akan disekat selama 30 tahun,” katanya. 

Pesuruhjaya, Sir William Young dan Jacqui Caine berkata, langkah untuk tidak menerbitkannya adalah demi keselamatan negara.

Katanya, penerbitan bukti yang lengkap dapat memberikan insipirasi dan petunjuk kepada pengganas lain, namun kebimbangan itu berkemungkinan hilang dalam tempoh 30 tahun. 

Menurut kerajaan New Zealand, Suruhanjaya Siasatan Diraja berperanan untuk menyiasat apa yang diketahui oleh agensi sektor negeri mengenai kegiatan individu terbabit sebelum serangan, dan langkah-langkah lain yang perlu diambil bagi mencegah serangan pengganas di masa akan datang.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button