Berita Utama

Mana janji nak tuntut keadilan kematian Adib?

Apa guna ada kuasa tapi senyap, baik tak payah ada kuasa!

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Pelik apabila pihak yang lantang menuntut keadilan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kini hanya berdiam diri, meskipun sudah mendapat kuasa.

Sepatutnya, apabila mengambil alih tampuk pemerintahan, ‘pihak ini’ perlu menegakkan keadilan kematian Adib bukan memberi sebarang alasan.

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris menegaskan, rakan seperjuangan dahulu yang mempunyai kuasa ketika ini harus menegakkan keadilan kes pembunuhan Muhammad Adib.

“Masalahnya sekarang apabila sudah ada kuasa pun masih tidak boleh berbuat apa-apa, jika begitulah keadaannya maka baik tak payah ada kuasa!

“Kalau tak nak guna kuasa untuk tegak keadilan untuk apa ada kuasa?,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak untuk tidak menjadikan kes kematian Muhammad Adib sebagai retorik politik semata-mata.

“Tidak perlu komen panjang kerana sebelum berkuasa merekalah yang paling lantang mengutuk kata kerajaan ada kuasa tetapi tidak menggunakan kuasa untuk keadilan apalah gunanya,” katanya kesal.

Sebelum ini, keluarga Allahyarham Muhammad Adib berharap siasatan mencari penjenayah yang menyebabkan kematian anaknya dapat dilakukan segera berikutan sudah terlalu lama menunggu.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, beliau masih tidak berpuas hati dan kecewa apabila pihak bertanggungjawab tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk membela kematian arwah.

“Sebelum ini, Mahkamah Koroner sudah putuskan kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali, mahkamah itu juga turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan juga menyumbang kematian anak saya.

“Peguam keluarga saya sendiri sudah minta polis segerakan siasatan selanjutnya, sampai sekarang tak nampak apa-apa tangkapan lagi.

“Polis tidak berhubung dengan saya untuk memberitahu sebarang perkembangan terkini,” katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button