Saintis China dakwa COVID-19 dari India, bukan Wuhan
Penyelidikan berat sebelah abai data epidemologi
BEIJING, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Penyelidik dari China berdepan dengan kecaman apabila mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh kononnya virus COVID-19 bukan berasal dari China.
Saintis dari Akademi Sains China mendedahkan satu kertas penyelidikan yang mendakwa kes COVID-19 mula dikesan muncul di India sebelum merebak ke Wuhan.
Dokumen penyelidikan itu mendakwa sumber virus itu berasal daripada manusia dan haiwan liar yang berkongsi sumber air sama berikutan gelombang panas yang melanda India dan Pakistan pada 2019.
“Kekurangan sumber air mengakibatkan haiwan liar seperti monyet berebut untuk mendapatkannya yang meningkatkan interaksi antara haiwan dan manusia,” lapor portal NZHerald.
Kumpulan itu menggunakan analisis filogenetik bagi mengesan asal usul mutasi yang berbeza, mendebatkan bahawa strain virus yang mengalami mutasi paling sedikit adalah yang asli.
Sehubungan itu, mereka berpendapat kes pertama mungkin tidak dikesan di Wuhan, sebaliknya menunding jari kepada India dan Pakistan berikutan strain virus dengan mutasi yang rendah dikesan di kedua-dua kawasan itu.
Bagaimanapun, Ketua genomik virus dan bioinformatik dari Universiti Glasgow, Prof David Robertson berkata, terdapat banyak kecacatan dalam penyelidikan itu.
“Pendekatan penyelidik untuk mengenal pasti virus yang bermutasi rendah dlilihat terlalu berat sebelah.
“Mereka juga mengabaikan data epidemologi sedia ada yang jelas menunjukkan virus itu tersebar dari China,” katanya. – Agensi