Berita Utama

Wujudkan koperasi bantu B40 miliki rumah

Bina rumah dengan jumlah sama, dijual pada ahli harga kos

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Matlamat supaya golongan berpendapatan rendah memiliki rumah tidak dapat dipenuhi, sekiranya kita masih mengharapkan syarikat pembangunan hartanah membina rumah mampu milik.

Ini kerana, syarikat pembangunan hartanah hanya akan memikirkan untung kerana dimiliki oleh pemegang saham yang mahu memaksimakan keuntungan.

Bagi mengatasi masalah ini, satu institusi bukan untung seperti koperasi perlu diwujudkan dalam pembinaan rumah mampu milik kepada golongan B40.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, di negara maju terdapat konsep koperasi pembangunan hartanah yang matlamatnya bukan untuk membuat untung, tetapi bagi memastikan semua ahlinya mendapat rumah.

Cara beroperasi, misalnya jika terdapat 1,000 ahli koperasi yang memerlukan rumah, maka koperasi akan membina rumah dengan jumlah yang sama dan dijual kepada ahli pada harga kos.

“Kita boleh menambahbaik konsep itu dengan menggunakan konsep wakaf dan crowdfunding. Kalau kita boleh lakukan, kos pembiayaan boleh dibiayai melalui tabung pelaburan wakaf yang membolehkan ia dibina dengan harga kos kemudian dijual kepada bakal pembeli.

“Mereka ini tidak perlu membayar faedah cuma perlu membayar kos secara bulanan dalam bentuk sewa.

“Tiap-tiap bulan bayar sewa bulanan dalam tempoh kurang daripada 15 tahun. Habis tempoh 15 tahun rumah itu akan jadi milik mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Ditanya mengenai peranan kerajaan dalam konsep berkenaan, Prof Barjoyai berkata, kerajaan boleh memberi sokongan dalam bentuk pengurusan koperasi, bagi memastikan diurus secara profesional supaya rumah siap seperti yang dirancang.

“Cuma sudah pasti pemaju perumahan akan menyifatkan ia membunuh industri pemaju perumahan.

“Sebenarnya tidak, ini kerana property developer mempunyai pasaran bagi pasaran umum dan untuk mereka yang secara tiba-tiba mahu membeli rumah,” katanya.

Menurut Laporan Pasaran Harta Tanah, H1 2020, sejumlah 31,661 unit rumah siap dibina bernilai RM20.03 bilion tidak terjual.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin berkata, jumlah itu adalah peningkatan 3.3 peratus dalam bilangan dan 6.4 peratus dalam nilai berbanding Separuh Tahun Kedua 2019 (H2 2019) iaitu 30,664 unit bernilai RM18.82 bilion.

Katanya, bagi membendung lambakan rumah termasuk rumah baharu di dalam negara, KPKT sedang melaksanakan beberapa inisiatif baharu.

Antaranya membangunkan Sistem Pengurusan Perumahan Bersepadu atau Housing Integrated Management System (HIMS) yang akan menggantikan sistem sedia ada bagi merekod maklumat perumahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button