Berita Utama

1.7 juta pelajar miskin digital? Kerajaan, NGO disyor bekerjasama

Ada sekolah langsung tak adakan pembelajaran dalam talian kerana pelajar tiada peranti

BANGI, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Laporan bahawa terdapat seramai 1.7 juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian, amat menyedihkan.

Bagi membantu menyelesaikan masalah itu, Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Nilai, Afizhi Atan mengesyorkan agar kerajaan negeri bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggalas tanggungjawab untuk memudahkan pelajar mendapatkan peranti bagi tujuan pembelajaran.

“Saya pernah tanya seorang guru besar bagaimana pembelajaran atas talian sekolah beliau, adakah berjalan lancar. Beliau hanya menjawab tiada sebarang pembelajaran atas talian. 

“Jangan kata nak belajar, peranti pun pelajar beliau tiada. Pelajar beliau ramai terdiri di kalangan Orang Asli. Sekolah luar bandar. Kasihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau percaya, kerajaan negeri mempunyai dana yang cukup untuk membiayai inisiatif sebegini berdasarkan daripada pemerhatian terhadap perbelanjaan mereka termasuk kenaikan gaji Ahli Mesyuarat Kerajaan (EXCO).

“Apabila beberapa kerajaan negeri umum kenaikan gaji EXCO, umum bantuan kadar sifar pinjaman kakitangan kerajaan negeri, saya berpendapat banyak kerajaan negeri kaya dan mempunyai dana yang cukup. 

“Ini bukan tanggungjawab kerajaan Pusat sahaja. Kerajaan negeri pun boleh ambil tanggungjawab bersama.

“Cadangan saya adalah kerajaan negeri menyokong usaha pihak NGO atau pun PIBG dalam membantu pelajar mendapatkan peranti pembelajaran. Setiap kutipan dan derma awam oleh pihak NGO atau persatuan diikat ringgit dengan ringgit,” katanya.

Afizhi memberikan contoh usaha Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) melancarkan kutipan bantuan peranti kepada pelajar miskin dan berjaya mendapatkan sumbangan RM10,000. 

“Maka kerajaan negeri boleh menambah bilangan yang sama, RM10,000 menjadikan jumlahnya RM20,000 kepada I-Guru untuk disalurkan kepada pelajar miskin bagi mendapatkan peranti pembelajaran.

“Kita boleh libatkan banyak NGO dan PIBG. Jika takut salah guna, kerajaan negeri boleh pilih beberapa NGO sahaja. Ikutlah mana yang sesuai.

“Begitulah cadangan saya. Moga anak anak kita tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam perbahasan di Dewan Rakyat berkata, 37 peratus pelajar di bawah KPM tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian.

Ia termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah yang secara automatik tergolong dalam kelompok ‘miskin digital’.

Miskin digital tidak hanya dilihat daripada segi keupayaan ekonomi seseorang dalam memiliki komputer, telefon dan akses kepada sambungan internet pantas, tetapi juga merujuk kepada individu yang tidak mahir menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button